Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBerita10 anggota MMK Kedah angkat sumpah, pertahan portfolio sedia ada

10 anggota MMK Kedah angkat sumpah, pertahan portfolio sedia ada

ALOR SETAR, 19 Mei (Bernama) — Kesemua 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Kedah yang telah berkhidmat untuk tempoh dua tahun pertama sejak perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri sejak Mei 2020 dikekalkan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata kesemua anggota MMK telah mengangkat sumpah memegang jawatan sama di hadapan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit,  pada 10.30 pagi.

“Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut hadir ke majlis berkenaan. Selain dikekalkan jawatan sebagai anggota MMK, kesemua mereka juga dipertanggungjawabkan dengan portfolio sama dipegang sebelum ini.

“Menteri Besar Kedah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri; Perancang Negeri; Hal Ehwal Tanah; Hasil Bumi dan Sumber Asli; Kewangan; Kedah Economic Council (KEC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan; Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi manakala Datuk Dr Mohd Hayati Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan.

Azman Nasrudin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan; Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India manakala Datuk Suraya Yaacob sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya; Bekalan Air dan Sumber Air; Pengairan dan Saliran dan Tenaga.

Sementara itu, Datuk Siti Ashah Ghazali selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar; Pembasmian Kemiskinan; Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat manakala Datuk Halimaton Shaadiah Saad selaku Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan.

Romani Wan Salim pula memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna manakala Datuk Najmi Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama; Pendidikan dan Sumber Manusia.

Mohd Firdaus Ahmad pula memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya; Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala Dr Robert Ling Kui Ee selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan; Alam Sekitar; Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular