10 Berita Teknologi Sains Paling Menarik 2022

Tanpa bantuan sains, teknologi yang kita gunakan saban hari mungkin tidak akan wujud. Maka kami senaraikan 10 berita teknologi sains paling menarik tahun ini kerana terdapat banyak inovasi yang bakal mengubah hidup kita dalam masa terdekat.

1. Populasi Manusia Di Bumi Kini Melangkau 8 Billion Orang

Populasi manusia di bumi kini melangkau 8 bilion orang yang merupakan peningkatan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pada 1950. Ia menarik kerana dianggap sebagai satu peristiwa penting dalam pembangunan manusia selepas berlakunya penurunan kadar pertumbuhan populasi dunia secara drastik pada awal tahun 1960-an. Antara faktor yang mendorong kepada pertumbuhan ini adalah peningkatan jangka hidup manusia, dan tahap kesuburan yang tinggi di beberapa negara dengan kadar reproduksi sekitar 2.1 anak bagi setiap wanita.

Menurut PBB, angka itu berpotensi terus meningkat dari semasa ke semasa dengan anggaran 8.5 bilion pada 2030 sebelum memuncak kepada sekitar 10.4 bilion sepanjang tahun 2080. Keadaan ini bagaimanapun menjadi perdebatan sesetengah pihak yang menyatakan kebimbangan ekoran pertambahan penduduk dan sumber yang tidak mencukupi bagi mengekalkannya.

2. Wajah Penang Woman Dihasilkan oleh USM

Tahun lalu wajah Orang Perak (Perak Man) telah dihasilkan sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia bagi merungkai misteri rangka yang ditemukan pada 1991 di Lenggong Perak. Pasukan yang sama menghasilkan anggaran wajah Orang Perak kini menghasilkan pula anggaran wajah Penang Woman yang ditemukan di Guar Kepah pada tahun 2017.

Imbasan tengkorak Penang Woman telah diambil sebelum teknik rekonstruksi forensik moden digunakan untuk menganggarkan ketebalan kulit dan fitur wajah. Berdasarkan data imbasan tengkorak yang sama, penghasilan semula wajah menggunakan teknik 3D dilakukan pula oleh Cicero Moraes yang merupakan seorang artis rekonstruksi wajah dari Brazil.

Penang Woman dianggarkan hidup sekitar 5000 tahun yang lalu dengan tubuh setinggi 150cm dan meninggal dunia pada usia 30 hingga 35 tahun. Ujian pada tisu rangka turut mendedahkan beliau hidup dengan memakan protein daripada makanan laut atau sungai.

3. Sungai Sepanjang 460KM Ditemukan Di Benua Antartika

Antartika ialah benua yang kelima terbesar di dunia dengan ia sentiasa dilitupi ais. Oleh sebab itu pasti ramai menyangka ia kesemua sumber air di benua ini adalah beku. Tetapi sekumpulan saintis antarabangsa telah menemukan sungai bawah tanah sepanjang 460km di benua ini. Lebih menarik ialah antara saintis yang terlibat adalah dari Universiti Malaysia Terengganu.

Sungai bawah lapisan ais kali pertama ditemukan beberapa dekad yang lalu. Pada awalnya saintis menyangka ia adalah sistem sungai kecil yang pendek tetapi selepas kajian lebih mendalam dilakukan ia sebenarnya terdiri daripada rangkaian tasik bawah tanah yang bersambung. Saintis kini mempunyai data yang lebih lengkap untuk meramalkan tahap pencairan ais di masa hadapan.

4. Jantung Khinzir Dipindahkan Ke Manusia Dengan Jayanya

Jantung khinzir yang telah berjaya dipindahkan ke tubuh manusia sebenar. Mungkin perkara ini kedengaran tidak masuk akal tetapi itulah apa berlaku kepada David Bennett yang merupakan penerima jantung khinzir pertama dunia. Proses pemindahan ini telah berjaya dilakukan oleh sekumpulan doktor dari University of Maryland Medical Center, Amerika Syarikat pada Mac lalu.

Jantung khinzir itu telah melalui perubahan genetik terlebih dahulu untuk disesuaikan dengan tubuh manusia. Bagaimanapun, beliau meninggal dunia dua bulan selepas pembedahan disebabkan dipercayai disebabkan oleh virus haiwan. Jangkitan tersebut berlaku berpunca daripada ketiadaan sistem pertahanan badan khinzir pada tubuh penerima lalu membawa maut.

Hal tersebut bagaimanapun tidak menghalang para doktor dari NYU Langone Health untuk memindahkan jantung khinzir ke tubuh dua penerima manusia lain pada Julai. Dua penerima hanya hidup sekitar 72 jam sahaja kerana sudahpun disahkan kematian otak dan tubuh diserahkan untuk kajian sains.

5. Organ Universal Yang Boleh Didermakan Tanpa Mengira Jenis Darah Dihasilkan

Penggunaan organ khinzir sebagai analog organ manusia menimbulkan perdebatan besar kerana soal halal haram. Sebenarnya terdapat alternatif lain yang turut diusahakan. Pada Februari tahun ini organ universal yang boleh didermakan kepada semua penerima tanpa mengira jenis darah telah berjaya dihasilkan saintis dari Latner Thoracic Surgery Research Laboratories dan UHN Ajmera Transplant Centre yang terletak di Kanada.

Melaluinya, paru-paru dari individu dengan darah A dirawat dengan enzim FpGalNAc deacetylase dan FpGalactosaminidase. Ia juga adalah enzim-enzim yang digunakan bagi mengubah darah jenis A ke jenis O sebelum ini. Selepas dirawat selama beberapa jam di dalam sebuah kebuk khas, 97% antigen A berjaya dikeluarkan dari paru-paru tersebut.

Kemudian saintis mengepam darah jenis O ke paru-paru berkenaan dan mendapati tiada sebarang penanda penolakan yang ditemui. Setakat ini ia masih di peringkat ujian makmal sahaja. Ujian klinikal dalam masa 12-18 bulan diperlukan bagi langkah yang seterusnya. Sementara itu, saintis berkenaan juga dalam perancangan untuk memperluaskan lagi penghasilan orang universal yang tidak sekadar terhad pada paru-paru dalam tempoh akan datang.

6. Produk Meluruskan Rambut Meningkatkan Risiko Kanser Rahim

Rambut merupakan mahkota wanita, yang dilihat sebagai sesuatu yang sangat berharga. Biarpun memakai tudung, penjagaannya tidak harus diabaikan bagi memastikan ia kekal cantik. Untuk tampil sempurna, dandanan rambut juga adalah sama pentingnya dengan sapuan alat solek pada wajah. Produk meluruskan rambut adalah salah satu produk yang wajib ada dalam senarai seorang wanita. Sebabnya memiliki rambut lurus adalah antara impian para wanita di dunia. Tetapi sedarkah anda, ia sebenarnya menyumbang kepada peningkatan risiko kanser rahim?

Perkara ini telah didedahkan oleh National Institutes of Health (NIH) dalam satu kajian yang melibatkan 33,497 peserta berusia antara 35-74 tahun di Amerika Syarikat. Dapatan kajian mendapati 378 daripada peserta didapati menghidap kanser rahim. Persamaan yang ditemukan ialah mereka menggunakan produk meluruskan rambut lebih daripada empat kali setahun. Penyelidik menganggarkan 1.64% wanita yang tidak menggunakan produk meluruskan rambut terdedah kepada risiko kanser rahim tetapi meningkat ke 4.05% jika mereka menggunakannya.

7. Ronna, Quetta, Ronto & Quecto – Empat Unit Ukuran SI Baharu

MEGApixel, teknologi NANO dan gelombang MILImeter. Kesemua terma ini mempunyai imbuhan unit S.I yang dipelajari semasa di bangku sekolah. Bulan November lalu empat lagi imbuhan untuk untuk ukuran baharu diperkenalkan iaitu Ronna, Quetta, Ronto dan Quetto. Nilai yang diwakili oleh empat imbuhan ini ialah.

Ronna (R) ialah 1027 atau 1 000 000 000 000 000 000 000 000 000

Quetta (Q) ialah 1030 atau 1 000 000 000 000 000 000 000 000 000 000

ronto (r) ialah 10−27 atau 0.000 000 000 000 000 000 000 000 001

quecto (q) ialah 10−30 atau 0.000 000 000 000 000 000 000 000 000 001

Turut difahamkan, kesemua kata awalan baharu ini boleh digunakan dalam tujuh unit asas dalam sistem metrik termasuklah gram (g) dan amp (A). Penambahan ini merupakan pengembangan dalam senarai sejak kata awalan terakhir yang diperkenalkan pada tahun 1991. Ronna dan Quetto juga ditambah bagi keperluan sains data yang kerana yotta kini sudah lagi tidak mencukupi.

8) Mikroplastik Ditemukan Dalam Tubuh Manusia, Darah Manusia, Daging Lembu Dan Susu

Berita lain yang turut mengejutkan pada tahun ini adalah penemuan mikroplastik dalam tubuh manusia. Dapatan kajian mendapat partikel mikroplastik itu telah ditemukan dalam najis, tisu, darah dan paru-paru manusia yang hidup. Ia turut ditemukan dalam daging lembu serta susu yang dikeluarkan. Jenis plastik yang dikesan adalah Polyethylene terephthalate (PET), polietilena, dan polimer stirena.

Dalam bahasa mudah, ini adalah plastik dari jenis yang biasanya digunakan pada bungkusan, botol dan pakaian. Ia dipercayai memasuki tubuh manusia menerusi rongga pernafasan melalui udara yang dihirup yang kemudiannya ‘bersarang’ di dalam organ. Kesan jangka panjang plastik dalam darah masih belum diketahui kerana tiada kajian dilakukan setakat ini.

Tetapi ia berpotensi memberi menyebabkan kerosakan pada sel manusia. Berbeza pula kesannya terhadap hidupan lain, misalnya seperti haiwan yang boleh mengakibatkan terjadinya kerencatan perkembangan tubuh, kematian, mengakibatkan kesukaran membiak dan ketoksikan kimia.

9) Tenaga Pelakuran Nuklear Semakin Hampir Menjadi Realiti

Sekitar 81% keperluan tenaga dunia masih dijana menggunakan bahan api fosil yang terus menyumbang kepada perubahan iklim. Impak pada perubahan iklan telah menyebabkan Great Barrier Reef terancam dan habitat populasi hidupan liar berkurangan 69% sejak 1970an. Kincir angin dan solar masih belum mampu menggantikan sumber tenaga sedia ada.

Antara sumber tenaga yang diharap boleh menjadi sumber yang lestari dan bersih ialah pelakuran nuklear. Pasca tindak balas hanya hidrogen dan neutron dihasilkan tetapi untuk pelakuran nuklear berlaku suhu sepanas matahari diperlukan. Tahun ini tindak balas pelakuran nuklear berjaya dilakukan dalam makmal di Amerika Syarikat dengan output tenaga melebihi input. Di China pula tokamak yang menghasilkan suhu yang lebih tinggi berbanding permukaan matahari mampu beroperasi selama 17 minit.

Kita masih belum mempunyai momen Enrico Fermi untuk teknologi pelakuran nuklear tetapi tahun ini kita maju beberapa langkah. Dalam masa satu generasi mungkin ia akan menjadi penyumbang utama tenaga yang lebih bersih.

10) Moderna Memulakan Ujian Klinikal Untuk Tiga Vaksin HIV Dan Kanser

Penyakit HIV merupakan antara penyakit yang digeruni manusia kerana tiada ubat yang boleh merawatnya sehingga hari ini. Rawatan ART sekadar dapat mengurangkan jumlah virus dalam tubuh sehingga ia tidak boleh dipindahkan menerusi hubungan kelamin.. Namun seakan adanya titik cahaya di hujung terowong yang gelap apabila Moderna mengumumkan mereka telah memulakan ujian klinikal fasa 1 untuk tiga jenis vaksin HIV pada Mac lalu.

Mereka menggunakan teknologi mRNA yang sama seperti vaksin Covid. Ringkasnya, fasa pertama ujian melibatkan 100 peserta sihat yang disuntik dengan tiga dos vaksin dalam tempoh enam bulan. Pemerhatian menyeluruh selama 10 bulan dibuat bagi melihat sama ada vaksin itu mendatangkan kesan negatif ke atas tubuh atau sebaliknya. Ujian fasa pertama ini tamat pada pertengahan 2023, kemudiannya diteruskan lagi dengan ujian klinikal fasa kedua yang menunjukkan keputusan akhir yang terbaik. Selain vaksin HIV, Moderna juga sedang membangunkan vaksin untuk kanser, cacar air dan herpes tahun ini.

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button