Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBerita10 lokaliti di Kedah, Perlis dipilih bagi fasa satu program BMTKM

10 lokaliti di Kedah, Perlis dipilih bagi fasa satu program BMTKM

JITRA, 26 Mei (Bernama) — Tujuh lokaliti di Kedah dan tiga di Perlis dipilih untuk pelaksanaan Fasa Satu Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang dijadualkan bermula hujung bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata lokaliti di Kedah membabitkan tujuh buah kampung di lima daerah manakala di Perlis terdiri daripada tiga buah kampung di tiga daerah.

“Program ini merupakan sebahagian daripada matlamat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu menjelang akhir 2025 kita nak hapuskan miskin tegar di seluruh negara.

“Jadi pada hari ini, mengikut data eKasih daripada ICU, terdapat 180,009 keluarga miskin tegar seluruh negara dan di Kedah ini ada kira-kira 12,000 keluarga miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat dan lawatan turun padang ke daerah Kubang Pasu bagi pelaksanaan BMTKM di Kampung Kuala Jerlun dekat sini.

Mustapa berkata sebanyak 80 lokaliti di seluruh negara telah dikenal pasti bagi pelaksanaan Fasa Satu BMTKM yang akan dilaksanakan secara holistik melibatkan golongan sasar tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Beliau berkata BMTKM juga mengguna pakai pendekatan dari bawah ke atas yang melibatkan penyertaan akar umbi dan golongan sasar dalam merangka program yang melibatkan penyelesaian kemiskinan secara bersasar dan berbeza bagi setiap lokaliti mengikut keperluan di kawasan tersebut.

Menurutnya, golongan miskin tegar yang dikenal pasti akan diberikan bantuan tertentu yang akan dicadangkan pemimpin masyarakat setempat dan selepas itu mereka akan dipantau bagi memastikan bantuan yang disalur digunakan dengan sewajarnya.

“Ini bukan program baharu, program basmi kemiskinan tegar ini sudah lama ada, tapi bezanya sekarang ini kita bersepadu dan holistik melibatkan kerajaan negeri dan pusat, pemimpin masyarakat dan universiti juga terlibat.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular