info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

12,000 Pelajar Terima Bantuan Bagi Pembelajaran Dalam Talian Daripada Yayasan Petronas

85views

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Sejumlah 12,000 pelajar di seluruh negara menerima peranti dan ketersambungan data yang disediakan Yayasan Petronas bagi membolehkan mereka memiliki akses lebih baik bagi mengikuti pembelajaran dalam talian susulan landskap pendidikan di Malaysia yang bertukar kepada pengajaran serta pembelajaran secara hibrid.

Yayasan Petronas dalam kenyataan hari ini memaklumkan peranti digital bernilai RM30 juta kini dibekalkan kepada 81 buah sekolah di 69 daerah dari 17 Mei hingga pertengahan bulan Jun sebagai sebahagian daripada komitmen yayasan itu terhadap inisiatif CERDIK.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Nelly Francis Shariah berkata menerusi CERDIK, yayasan itu menyasarkan untuk menyediakan akses yang saksama bagi pendidikan berkualiti kepada pelajar kerana ia adalah langkah pertama untuk merapatkan jurang digital ke arah memperkaya pengalaman pendidikan serta kehidupan mereka.

“Berbekalkan kesemua peranti dan perkhidmatan Internet ini, kami berharap lebih ramai pelajar terutama daripada golongan yang kurang berkemampuan dan masyarakat luar bandar boleh mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Pada masa-masa yang sukar ini, kami perlu membantu memastikan tiada pelajar yang ketinggalan,” katanya sambil mengakui banyak keluarga berdepan tekanan dari segi kewangan susulan sekatan yang dikenakan dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

Berdasarkan tinjauan ke atas 900,000 pelajar oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun lepas, sebanyak 37 peratus memaklumkan bahawa mereka tidak memiliki peranti yang sesuai di rumah bagi mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Peranti yang disediakan menerusi inisiatif CERDIK direka bagi memenuhi keperluan pembelajaran pelajar selama tiga tahun akademik dan dilengkapi perkhidmatan data, penyelenggaraan, jaminan serta sokongan teknikal.

Diumumkan dalam Belanjawan 2021, CERDIK merupakan inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan normal baharu pembelajaran secara dalam talian, e-pembelajaran serta bentuk lain pengajaran jarak jauh.

Menjalin usaha sama dengan KPM, Kementerian Kewangan dan Yayasan Hasanah (Sekretariat) serta rakan kongsi GLC dan GLIC lain, Yayasan Petronas mengutamakan sekolah yang majoriti pelajarnya adalah daripada keluarga B40.

Source link