Berita

14 Lagi Hospital Diwartakan Sebagai Hospital Rawatan COVID-19

97views

PUTRAJAYA, 19 Jan — Sebanyak 14 lagi hospital Kementerian Kesihatan (KKM) diwartakan sebagai hospital rawatan COVID-19 bagi menampung peningkatan pesakit terutama pada tahap tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia membabitkan penambahan sebanyak 539 katil baharu.

“Sejak akhir-akhir ini kita melihat peningkatan jumlah kes jadi kita perlu meningkatkan bilangan hospital,” katanya pada sidang media mengenai penularan COVID-19, di sini, hari ini.

Hospital terbabit ialah Hospital Sultan Ismail, Hospital Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail di Johor; Hospital Sultan Abdul Halim di Kedah; Hospital Serdang dan Hospital Selayang di Selangor; Hospital Pekan, Hospital Jengka dan Hospital Muadzam Shah di Pahang; Hospital Setiu di Terengganu; Hospital Jeli di Kelantan; Hospital Kudat di Sabah yang didaftarkan semula; serta Hospital Limbang dan Hospital Sarikei di Sarawak.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham tidak menyatakan jumlah keseluruhan hospital yang diwartakan sebagai hospital COVID-19 ketika ini.

Dr Noor Hisham berkata, gelombang ketiga jangkitan COVID-19 di negara ini menyaksikan sebanyak peningkatan sehingga 15 peratus pesakit tahap empat dan lima yang dirawat di hospital berbanding dua peratus pada gelombang kedua sebelum ini.

Source Link