info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

1597 Calon SPM Daerah Marang Akan Diberikan Makanan Percuma

92views

MARANG, 21 Feb — Seramai 1,597 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dari 13 sekolah menengah di daerah ini akan menikmati makanan dan minuman tengah hari percuma, esok.

Inisiatif itu bertujuan mengelakkan semua calon peperiksaan SPM pulang ke rumah untuk makan dan minum pada sesi rehat.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Senator Datuk Razali Idris, berkata pengetua sekolah diberi tanggungjawab sepenuhnya, termasuk kesesuaian masa untuk menyediakan makanan dan minuman percuma kepada semua calon esok.

Katanya, pengetua juga diminta untuk tidak membenarkan calon keluar dari kawasan sekolah, termasuk pulang ke rumah untuk makan dan minum, terutama jika membabitkan peperiksaan beberapa kertas pada dua sesi.

“Inisiatif ini bertujuan mengelakkan calon SPM 2020 keluar masuk ke kawasan sekolah dan dewan peperiksaan.

“Kita bimbang ada antara calon tidak dapat meneruskan peperiksaan disebabkan dijangkiti pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media majlis penyampaian bantuan kewangan RM7,975 bagi membiayai kos makan dan minum untuk semua calon SPM 2020 di Pejabat Pendidikan Daerah Marang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan Pegawai Jabatan Pendidikan Daerah Marang, Mohd Nawawi Rani.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri berkata, jumlah bantuan diberikan bergantung kepada jumlah calon di setiap sekolah yang bakal menduduki peperiksaan, termasuk calon persendirian.

Source Link