Berita

16 pasar tani beroperasi seluruh Selangor mulai hari ini

122views

SHAH ALAM, 9 Mei  — Sebanyak 16 pasar tani dan empat pasar Selangor Agro Market (SAM) akan beroperasi di seluruh negeri selama tiga hari bermula hari ini bagi menjual barangan keperluan asas menjelang Aidilfitri minggu depan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hashim berkata pasar tani itu akan dibuka di kawasan tumpuan setiap daerah sebagai usaha pihaknya mengurangkan aktiviti rentas daerah khususnya bagi mencari barang keperluan seperti daging, ayam dan santan.

“Kita akan pastikan bekalan daging lembu, ayam dan santan mencukupi di samping (kerajaan negeri) turut menjalankan promosi (pemberian subsidi kupon) khususnya bagi ketiga-tiga barangan ni,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan kupon pembelian daging lembu, ayam dan santan kepada para pengunjung di tapak Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ini.

“Kita memperuntukkan subsidi RM50,000 (melalui kupon pembelian). Untuk daging kita akan bagi subsidi RM5 potongan, ayam seekor RM3, manakala santan RM2 bagi untuk satu kilogram (kg). Dengan ini kita dapat meringankan beban umat Islam yang membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” tambahnya.Izham berkata pihaknya juga akan berterusan memperketatkan pemantauan prosedur operasi standard di pasar tani susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

— BERNAMA

Source link