info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

16 Pesawat China Masuk Zon Maritim Malaysia

52views

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional semalam.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, berkata penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Pesawat bekenaan dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

“Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ackbal berkata, pesawat itu dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

“Pihak TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

“Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat itu di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR,” katanya.

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM mengenal pasti pesawat itu adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.

“Pesawat jenis ini adalah pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” katanya.

Menurut Ackbal, insiden ini adalah perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR.

“Insiden ini dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

“Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan,” katanya.

Source Link