info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

209,737 Permohon i-Sejahtera Terima Bayaran Secara EFT

42views

GEORGE TOWN, 17 Feb  — Seramai 209,737 daripada 210, 404 pemohon telah menerima pembayaran bagi program-program i-Sejahtera fasa pertama tahun 2021 secara Pindahan Dana Elektronik (EFT) yang telah dilaksanakan bermula 1 hingga 5 Feb lepas.

Menurut Laporan Pembayaran EFT i-Sejahtera Fasa 1 Tahun 2021, kesemua penerima di bawah Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan Ibu Tunggal dan Program Ibu Emas masing-masing berjumlah 157,767, 9,856 dan 42,781 orang penerima.

Laporan tersebut menyatakan menerusi kesemua program tersebut seramai 667 penerima berstatus gagal transaksi disebabkan sama ada akaun tidak dapat dikenal pasti, nombor akaun tidak sah, akaun tidak aktif atau akaun telah ditutup.

“Penerima pembayaran bagi program i-Sejahtera fasa pertama tahun 2021 secara EFT perlu mengemas kini semula maklumat akaun bank mereka bagi mengelakkan penerimaan berstatus gagal transaksi,” demikian menurut laporan tersebut, yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pemohon yang berstatus gagal transaksi akan ditukar mod pembayarannya kepada tunai oleh sistem secara automatik manakala jadual pelaksanaan pembayaran bagi penerima tunai akan ditetapkan bersesuaian dengan keadaan semasa situasi penularan wabak COVID-19.

Menurut laporan tersebut, terdapat seramai 49,559 penerima tunai i-Sejahtera tahun 2020 yang telah ditangguhkan bayarannya akibat pandemik COVID-19.

Bagi penerima terutamanya di bawah Program Penghargaan Warga Emas yang mungkin menghadapi masalah untuk membuka akaun bank disebabkan oleh had usia, anggota jawatankuasa telah bersetuju supaya penggunaan akaun bank waris dibenarkan bagi tujuan penerimaan wang sumbangan.

Sebagai langkah kawalan, laporan itu memaklumkan hanya akaun bank waris daripada waris yang dinamakan oleh pemohon (warga emas) di dalam maklumat pendaftaran yang akan diterima dan dibenarkan.

— BERNAMA

Source link