info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

23 Mati Selepas Terima Vaksin COVID-19 – Norway Lancar Siasatan

91views

OSLO, 17 Jan — Pihak berkuasa Norway melancarkan siasatan terhadap kematian 23 individu beberapa hari selepas menerima vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19.

Beberapa individu lain pula jatuh sakit selepas mendapat vaksin berkenaan.

Pfizer dan BioNTech juga bekerjasama dengan pengawal selia Norway untuk menyiasat kematian tersebut, lapor agensi berita New York Post.

Wakil syarikat itu berkata, gergasi farmasi itu ‘menyedari kes kematian yang dilaporkan’ berikutan pemberian vaksin di Norway dan bekerjasama dengan Agensi Perubatan Norway bagi mengumpul semua maklumat berkaitan.

Kelmarin, media melaporkan seramai 23 individu di Norway yang kebanyakannya warga emas meninggal dunia beberapa hari selepas menerima suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19

Daripada jumlah itu, 13 daripadanya adalah penghuni pusat jagaan warga emas berumur 80 tahun, kata pegawai kesihatan.

Ketua Doktor di agensi itu, Sigurd Hortemo berkata, reaksi normal terhadap vaksin itu termasuk demam dan loya dan mungkin menyumbang kepada kematian terutama kepada pesakit pesakit yang lemah.

Lebih daripada 30,000 orang di Norway sudah menerima suntikan pertama vaksin itu di negara Skandinavia sejak akhir bulan lalu.

Pengarah Perubatan agensi itu, Steinar Madsin pula berkata kepada stesen penyiar Norway, NRK, sangat jelas bahawa suntikan vaksin itu mempunyai sedikit risiko dengan pengecualian ke atas pesakit yang lemah.

“Doktor perlu mempertimbangkan dengan hati-hati siapa yang harus diberi suntikan vaksin. Mereka yang sangat lemah mungkin boleh diberi suntikan selepas dilakukan penilaian,” katanya.

Agensi perubatan negara itu juga melaporkan pada Khamis lalu, bahawa seramai 29 individu iaitu 21 wanita dan lapan lelaki yang disuntik vaksin itu mengalami kesan sampingan termasuk reaksi alahan, demam yang teruk.

Setakat ini, Norway mencatatkan lebih daripada 57,000 kes dan 500 kes kematian. – AGENSI

Source Link