Berita

280 Hektar Tanah Di Raub Bakal Dimajukan Sebagai Pusat Ternakan Kerbau

148views

JERANTUT, 21 Mac — Pahang akan menjadi pengeluar susu kerbau terbesar di negara ini apabila kawasan seluas 280 hektar disediakan di Bukit Kajang, Raub dimajukan sebagai pusat ternakan perintis sebelum dikembangkan di daerah lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, projek bersepadu itu akan mengeluarkan susu kerbau untuk dijadikan sumber utama kepada pembuatan produk keju mozzarella.

“400 hektar diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk menjalankan projek secara bersepadu di mana 280 hektar adalah bagi menternak kerbau untuk susu dan pada masa sama, baki kawasan adalah untuk memperkasa kualiti ternakan.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama, Jabatan Veterinar sedang bangunkan baka kerbau terbaik dari seluruh dunia untuk dikacukkan dengan kerbau tempatan melalui teknik pemanian berhadas,” katanya.

Beliau berkata semua prasarana di kawasan terbabit dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Katanya, pada peringkat awal, 500 kerbau akan diternak oleh usahawan ternakan berjaya yang berpengalaman luas menternak kerbau untuk susu.

“Mengikut perancangan projek ini sudah dimulakan tahun lalu tetapi di sebabkan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) ia terpaksa ditangguh dan dijangka dimulakan tidak berapa lama lagi.

“Pada masa ini kerbau berkenaan ditempatkan sementara di pusat ternakan di Semenyih, Selangor sebelum dipindahkan ke Raub kelak,” katanya pada majlis Sidang Penternakan Ruminan Daerah Jerantut di Majlis Daerah Jerantut, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Pahang, Dr Kamaliah Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin.

Mohd Soffi berkata, kerajaan negeri akan turut membantu usahawan ternakan di negeri ini untuk menternak lembu wagyu yang dikacuk dengan lembu tempatan supaya sesuai dengan cuaca di negara ini.

Source Link