Berita

289 graduan UiTM Terengganu terima ijazah secara temujanji

129views

DUNGUN, 6 Dis — Majlis penganugerahan diploma dan ijazah secara temujanji kepada 289 graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu di sini tetap meriah meskipun tidak dilaksanakan mengikut rutin kebiasaan seperti sebelum ini.

Walaupun tiada istiadat perarakan masuk, ucapan Canselor dan gambar berkumpulan, graduan UiTM Cawangan Terengganu bersyukur kerana masih dapat mengabadikan kenangan manis itu sebagai tanda berakhirnya pengajian mereka selama ini.

Ahmad Ikhwan Fitri Arefin (repeat: Arefin), 25 ketika dihubungi Bernama berkata beliau akur dengan perubahan yang dilaksanakan itu walaupun terpaksa hadir majlis penganugerahan tersebut seorang diri.

“Adik-beradik yang lain di Kelantan tidak dapat hadir kerana negeri itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

“Memang sedih lihat graduan lain meraikan hari istimewa ini bersama keluarga, namun saya reda kerana tiada rezeki saya menyambutnya bersama adik beradik seperti mana rakan lain,” katanya yang menerima Anugerah Naib Canselor dengan keputusan cemerlang dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni Kulinari.

Beliau yang juga penerima biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) adalah anak yatim piatu setelah kehilangan ibu bapa, Arefin Omar dan Hamidah Hussin beberapa tahun lalu.

Majlis penganugerahan selama tiga hari bermula semalam itu diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara bagi mencegah penularan COVID-19.

Setiap graduan diberi masa 15 minit untuk sesi fotografi dengan pematuhan SOP termasuk saringan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan jarak sosial sepanjang majlis penganugerahan itu berlangsung.

Bagi Amalina Ismail, 25, beliau tetap bersyukur kerana dapat merasai pengalaman ‘majlis konvokesyen’ yang agak unik dan menjadi sejarah yang akan dikenang sepanjang hayat.

“Walaupun tidak semeriah majlis konvokesyen terdahulu, saya tetap berterima kasih kepada UiTM Cawangan Terengganu kerana menyediakan ‘suasana’ yang terbaik untuk meraikan kejayaan kami,” katanya yang mengikuti Ijazah Pengurusan Hotel.

— BERNAMA

Source link