info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

3,799 Keluarga Orang Asli Di Gua Musang Terima Bantuan

53views

GUA MUSANG, 7 Jun — Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu memperuntukkan hampir RM1 juta bagi pengagihan bakul makanan kepada 3,799 ketua isi rumah Orang Asli di pedalaman daerah ini.

Penolong Pegawai Pembangunan Jakoa Gua Musang Muhamad Yusrizal Ghani berkata sumbangan itu bagi membantu mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan pergerakan penuh.

Beliau berkata ia melibatkan 17 pos penempatan masyarakat itu dan pengagihan bekalan makanan yang bermula semalam itu dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

“Satu pek bekalan makanan bernilai RM200 yang mengandungi beras, serbuk teh, gula, kicap, garam, tepung gandum, biskut, sardin dan bihun.

“Kami mengambil langkah segera menyediakan bakul makanan ini kerana ingin membantu mereka (Orang Asli) yang sukar keluar ke bandar membeli barang keperluan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Muhamad Yusrizal memantau kerja-kerja pembungkusan bakul makanan sebelum tugasan penghantaran dilakukan ke kampung Orang Asli.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan kehidupan masyarakat Orang Asli dari semasa ke semasa dan akan terus memberi bantuan kepada mereka sekiranya sekatan pergerakan penuh dilanjutkan.

“Jakoa mengharapkan mereka dapat menikmati bantuan bakul makanan dengan sempurna,” katanya.

— BERNAMA

Source link