Home Berita 40,729 jawatan diluluskan tahun ini

40,729 jawatan diluluskan tahun ini

28
0

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) — Sebanyak 40,729 jawatan telah diluluskan tahun ini untuk pengisian di kementerian, jabatan dan agensi, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata tumpuan keperluan pengisian jawatan itu adalah bagi pengoperasian fasiliti yang telah siap dan skim perkhidmatan kritikal di sektor kesihatan, keselamatan, pendidikan dan penguatkuasaan.

“JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) sentiasa komited terhadap keperluan pengisian jawatan bagi semua kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Keluarga Malaysia pada tahap optimum dan terbaik apatah lagi ketika negara sedang berada di fasa peralihan endemik dan pemulihan negara.

“Semua kementerian, jabatan dan agensi hendaklah mengikut kelayakan dan peraturan sedia ada bagi pengisian jawatan yang telah diluluskan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Mohd Shafiq berkata penetapan etika berpakaian kepada pelanggan yang hadir berurusan di jabatan kerajaan adalah bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan bersama selain selaras dengan prinsip Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Penetapan etika berpakaian ini juga turut dipraktikkan di jabatan kerajaan di Jepun, United Kingdom dan Australia serta negara-negara ASEAN seperti Filipina dan Thailand.

“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam kepada Keluarga Malaysia sentiasa relevan, Jabatan Perkhidmatan Awam melalui ketua-ketua jabatan terus memperkukuh program-program latihan kepada petugas kaunter di barisan hadapan dan menyebarluas kefahaman sedia ada mengenai etika berpakaian pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kepada laporan berita baru-baru ini berkaitan etika berpakaian kepada pelanggan hadir berurusan di jabatan kerajaan yang telah menyebabkan ketidakselesaan kepada segelintir pelanggan.

Mohd Shafiq berkata selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan platform digital dalam urusan perkhidmatan awam, Keluarga Malaysia digalakkan berurusan secara dalam talian melalui aplikasi atau portal yang telah disediakan dan ia secara tidak langsung dapat mempercepat akses terhadap perkhidmatan selain mengurangkan kerenah birokrasi.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat 389 platform perkhidmatan secara dalam talian yang telah dibangunkan.

“Keluarga Malaysia boleh mencapai perkhidmatan secara menyeluruh (end-to-end services) melalui portal MyGovernment dan satu Gerbang Rasmi Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (GOS Gateway),” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Previous articleKelantan FC catat kemenangan ketujuh Liga Premier 2022
Next articlePersefahaman Malaysia-indonesia bolehkan Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa ASEAN
Sistem Automasi Berita