Berita

47 Peratus Sungai Di Malaysia Dikategori Sebagai Sungai Tercemar

134views

KUALA LUMPUR, 23 Mac  — Hanya 53 peratus lembangan sungai di Malaysia dikelaskan sebagai sungai bersih, manakala 42 peratus adalah sungai tercemar dan bakinya dikategorikan sebagai tercemar teruk, kongsi dua pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.

Menurut Ts. Dr Ismaniza Ismai  dan Dr Nurul Nadiah Mohd Firdaus Hum, pensyarah di Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan, sejak akhir-akhir ini, kes pencemaran sungai juga dilihat semakin berleluasa sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air bersih.

Mereka berpandangan situasi itu berlaku berikutan masih kurangnya pendidikan dan kesedaran orang ramai berhubung kelestarian sungai serta bagaimana menguruskan sungai bagi memastikan kualiti air sungai terjamin.

“Umpama sambutan ulang tahun, tahun ini menyaksikan Sungai Kim Kim di Johor tercemar kembali. Aduan penduduk setempat dan hasil pengawasan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati bahan pencemar dan sisa kimia masih di paras yang membimbangkan.

“Di negeri Selangor pula, pencemaran sungai menjadi polemik kerana sering dibabitkan dengan gangguan bekalan air. Rata-rata boleh dikatakan selang beberapa bulan akan ada kes yang membabitkan pencemaran air sungai dan bekalan air. Sektor industri dan masyarakat setempat mula terjejas akibat gangguan air yang berterusan,” katanya.

Mereka berkata demikian dalam artikel bertajuk ‘Tercemarnya Hari Air Sedunia dengan Pencemaran Sungai Yang Berterusan’ yang diterbitkan dalam seksyen Tinta Minda bersempena sambutan Hari Air Sedunia menerusi portal Bernama hari ini.

Ismaniza dan Nurul Nadiah berkata walaupun langkah sewajarnya telah diambil oleh pihak berkuasa, semua jari tetap menuding kepada kerajaan negeri untuk mengambil langkah drastik bagi memastikan kejadian tidak berulang.

“Sikap menuding jari tidak menyelesaikan masalah pencemaran mahupun bekalan air yang ada. Andai hanya satu pihak sahaja yang berusaha membendung masalah yang ada. Perlu ada kerjasama di antara masyarakat dan pihak berkuasa, ibarat aur dengan tebing, kedua-dua pihak hendaklah bekerjasama untuk melestarikan sumber air ini,” kata mereka.

Justeru, kata mereka anjakan paradigma masyarakat terhadap sikap ‘not in my backyard‘ kepada keprihatinan akan kelestarian sungai secara menyeluruh seharusnya menjadi tunjang dalam kehidupan.

“Penghayatan sebenar melestarikan sungai dan sumber air mentah ini seharusnya dihayati dalam erti kata yang sebenarnya, bukan sekadar melepaskan batok di tangga. Sambutan Hari Air Sedunia saban tahun mungkin boleh dianggap tidak berjaya selagi masih ramai yang tidak menghargai dan salah mengurus sumber yang terbatas dan tidak tergantikan ini,” kata mereka.

Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun dengan tema sambutan tahun ini ‘Menghargai Air’.

Artikel penuh boleh diakses di Bernama.com.

— BERNAMA

Source link