Berita

49 Jemaah Solat Aidiladha Di Tahan Kerana Tidak Patuh SOP

94views

GEORGETOWN, 22 Julai — Kerajaan negeri kurang senang dengan tindakan polis apabila imej tahanan reman mereka yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menunaikan solat Aidilfitri di Taman Pelangi, Juru, dua hari lalu, dibawa dengan tidak memakai kasut dan tangan bergari.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata diharapkan pihak polis boleh melaksana sedikit budi bicara dalam hal ini.

“Semoga insiden berkenaan menjadi peringatan kepada semua, khususnya pihak pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang bagi bersama-sama mengambil serius di dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan susulan penguatkuasaan undang-undang dengan pantas mengenalpasti dan menahan individu yang sewenang-wenangnya melanggar SOP serta bertepatan dengan langkah tegas kerajaan dalam memerangi COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya sudah meminta laporan daripada pengerusi kariah Taman Pelangi dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) bagi mendapat penjelasan lanjut.

Katanya, selepas meneliti kronologi kes, didapati pihak kariah sudah mematuhi SOP ditetapkan, yang mana hanya 100 jemaah dalam kalangan warganegara dan pemastautin tetap serta mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dibenarkan bagi menunaikan solat sunat Aidiladha pada pagi itu.

Pengerusi kariah juga sudah memberi dua kali peringatan berkenaan SOP terkini yang dikeluarkan iaitu pertama pada malam raya dan kali kedua, sebelum solat didirikan.

“Penekanan sudah dibuat pengerusi kariah bagi tidak membenarkan warga asing menunaikan solat pada waktu itu namun mereka tetap berdegil dengan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau dan mengikut solat yang sedang berlangsung.

“Ia jelas di luar kawalan pihak jawatankuasa kariah kerana mereka sudah mengunci pagar surau dan tidak membenarkan sesiapa masuk sejurus sebelum solat dimulakan,” katanya.

Terdahulu, kejadian terbabit tular menerusi sebuah video berdurasi 22 saat memaparkan ratusan warga asing yang menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan raya di luar perkarangan surau yang dirakamkan orang awam menerusi kawasan terbabit.

Menerusi video itu, didapati kesemua warga asing terbabit solat dalam keadaan penjarakan sosial, namun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan awal yang dijalankan mendapati perkara itu berlaku secara spontan selepas kesemua mereka tidak dibenarkan solat di dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya kepada 100 orang.

Tangkapan kesemua mereka yang membabitkan 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan itu dibuat di kawasan perumahan berkenaan sejurus polis menerima laporan berhubung insiden itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.