522 projek mitigasi banjir bernilai RM69.77 juta dilaksanakan di Melaka

MELAKA, 13 Dis (Bernama) — Sebanyak 522 projek mitigasi banjir melibatkan peruntukan berjumlah RM69.77 juta telah dilaksanakan di Melaka, bagi menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh jangka masa pendek khususnya di 124 kawasan mudah banjir di negeri itu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata daripada jumlah itu, sebanyak 190 projek mitigasi banjir dilaksanakan di daerah Melaka Tengah membabitkan peruntukan berjumlah RM38.15 juta, manakala di Jasin sebanyak 157 projek melibatkan peruntukan RM15.54 juta, sementara 175 projek di Alor Gajah dilaksanakan bernilai RM16.08 juta.

  “Peruntukan bagi melaksanakan kesemua projek mitigasi banjir di ketiga-tiga daerah ini telah disalurkan pelbagai pejabat daerah dan tanah di daerah terlibat, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kesemua projek mitigasi berkenaan melibatkan projek kecil yang dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan isu banjir dalam tempoh jangka masa pendek,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) yang ingin tahu jumlah projek dan peruntukan yang telah disalurkan bagi mengatasi banjir di negeri itu.

Rahmad berkata sebanyak 45 lokasi ‘hotspot’ baharu telah dikenal pasti di ketiga-tiga daerah di negeri itu dan usaha mengatasi banjir di kawasan berkenaan akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Sementara itu, beliau berkata sebagai langkah jangka panjang mengatasi banjir, salah satu projek yang akan dilaksanakan ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Melaka Fasa Satu bernilai RM40 juta dan projek berkenaan kini di peringkat reka bentuk, sebelum pembinaannya ditender Mei tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata kerajaan Melaka telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.4 juta melibatkan 5,769 mangsa bencana termasuk banjir dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.

Beliau berkata kadar sumbangan bantuan kepada mangsa bencana di negeri itu juga telah dinaikkan dalam usaha meringakan beban mereka yang terjejas dan kehilangan harta benda.

“Bagi bencana banjir, kadar sedia ada antara RM200 hingga RM500 telah dinaikkan kepada RM300 hingga RM700 manakala kadar bagi bencana ribut dinaikkan kepada RM2,000 hingga RM4,000 berbanding RM1,000 hingga RM3,000.

“Bagi bencana kebakaran pula, kadar sedia ada iaitu RM1,000 hingga RM3,000 dinaikkan kepada RM2,000 hingga ke RM5,000 dan lain-lain bencana dinaikkan daripada RM200 hingga RM500 kepada RM300 hingga RM500,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button