info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

56 rumah rosak akibat ribut di Seremban

94views

SEREMBAN, 15 Nov — Sebanyak 56 buah rumah melibatkan Kampung Batu 3, Kampung Anak Air Garam, Kampung Kayu Ara, Taman Bukit Belida, Mambau, di sini, mengalami kerosakan akibat kejadian ribut dan hujan lebat petang tadi.

Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Fazlisyah Muslim, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang dan kebanyakan rumah terbabit mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan APM turut  membantu mengalihkan beberapa batang pokok tumbang di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya penilaian kerosakan sedang dilakukan oleh pihak berwajib dan kerja-kerja pembaikan dijangka dilaksanakan esok.

Katanya tiada pusat pemindahan dibuka kerana kesemua penduduk terjejas memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing.

Sementara itu, seorang penduduk terjejas, Sabariah Abdul Aziz, 64, berkata kejadian berlaku ketika dia sekeluarga sedang menikmati minum petang di luar rumah.

“Apabila melihat atap zink diterbangkan dan hujan turun dengan lebat serta angin kuat seperti puting beliung, kami sekeluarga lari ke dalam rumah,” katanya, menambah sebatang pokok menghempap bahagian dapur rumahnya dalam kejadian yang berlaku sekitar 10 minit itu.

— BERNAMA

Source link