Berita

583 permohonan rentas negeri melalui LTSAAS ditolak

125views

KUALA LUMPUR, 7 Mei  — Sebanyak 583 permohonan rentas negeri melalui pengangkutan udara di balai polis Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, di sini ditolak bagi tempoh 30 April hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata ia berikutan justifikasi permohonan didapati tidak munasabah dan dokumen perjalanan yang dikemukakan tidak sah atau tidak lengkap.

Beliau berkata permohonan yang diberi kelulusan adalah hanya bagi tujuan menziarahi kematian ahli keluarga terdekat seperti pasangan sendiri, anak, ibu dan adik-beradik, kecemasan dan pasangan suami isteri jarak jauh.

Kesemua permohonan ini mestilah mendapat kebenaran polis melalui permit rentas negeri sebelum membuat sebarang tempahan atau pembelian tiket penerbangan.

“Polis Petaling Jaya mengingatkan orang ramai bahawa bukti tiket penerbangan yang telah dibeli bukanlah alasan kukuh bagi mendapatkan kelulusan permit rentas negeri,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, polis telah merakam keterangan 15 individu susulan siasatan kes majlis tahnik anak kepada seorang penyanyi tersohor tanah air yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, pada 26 April lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Esha berkata antara yang dipanggil adalah penganjur, orang kenamaan dan penceramah.

“Siasatan kes berkenaan sedang dikemas kini sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, polis mengenakan kompaun RM10,000 terhadap pihak badan pengurus bersama di sebuah premis di ibu kota hari ini kerana gagal mengarahkan penghuni membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama dalam buku daftar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata tindakan kompaun dikenakan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 4) (pindaan) (No. 16) 2021.

“Polis menasihatkan semua pemilik premis agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara. Adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis memastikan semua penghuni dan pengunjung mematuhi SOP,” katanya dalam kenyataan.

— BERNAMA

 

Source link