Berita

696 bungkusan kuih raya diagihkan kepada pasukan keselamatan, petugas kesihatan di Sabah

250views

KOTA KINABALU, 29 April — Sebanyak 696 kotak kuih raya diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Sabah sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata penyampaian kuih itu bertujuan untuk menghargai jasa dan sumbangan semua anggota keselamatan yang bertugas di sempadan, laut, darat dan udara di negeri ini.

“Pengorbanan setiap anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang berusaha mengekang penularan COVID-19 di negeri ini sehingga sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan Negeri Di Bawah Bayu yang tercinta ini amatlah kami hargai,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan itu di sini hari ini.

Sumbangan kuih raya itu diterima daripada 29 agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kementerian, Persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah.

Sebanyak 12 pasukan dan agensi menerima sumbangan tersebut, antaranya Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Darat Diraja Malaysia, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

— BERNAMA

Source link