85 lori tangki air digerakkan bantu pengguna terjejas

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) — Sebanyak 85 lori tangki air digerakkan ke kawasan terlibat bagi memberi bantuan bekalan air kepada pengguna terjejas, susulan insiden pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, bantuan bekalan air itu disalurkan dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian, sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

Terdahulu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi tadi, berikutan henti tugas sementara di kedua-dua LRA tersebut.

Lokasi yang terlibat ialah 172 kawasan di sekitar Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).

Selain itu, Air Selangor turut melakukan ujian persampelan secara kerap, bagi mengukur kualiti air yang terjejas kesan daripada bahan sisa pencemaran tersebut.

“Usaha menangani insiden pencemaran ini dijalankan secara bersama antara Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bagi mengatasi pencemaran bau tersebut agar LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dapat beroperasi semula dengan segera.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa, menerusi semua medium khususnya media massa,” menurut kenyataan itu.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat terkini.

Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button