Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBerita85 peratus rumah teres dua tingkat Pisonia Ville 2 terjual

85 peratus rumah teres dua tingkat Pisonia Ville 2 terjual

JOHOR BAHRU, 29 Mei (Bernama) — Sebanyak 85 peratus daripada 53 unit rumah teres dua tingkat Pisonia Ville 2 di Bandar Uda Utama, di sini sudah mempunyai pembeli meskipun pembinaannya baru bermula bulan ini.

Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata perumahan yang dibangunkan di atas kawasan seluas 2.08 hektar itu menawarkan pilihan kondusif dan ruang yang luas iaitu lima atau enam bilik tidur dengan harga seunit bermula daripada RM732,000.

Beliau berkata sambutan sangat baik yang diterima pihaknya  menunjukkan penduduk Johor mengiktiraf pembangunan UDA.

“Setakat semalam, lebih 500 orang telah bertanyakan mengenai Pisonia Ville 2 dan kita ada 53 unit sahaja.

“Buat masa ini, daripada kesemua unit yang kita akan lancar dalam masa terdekat, 85 peratus telah mempunyai pembeli yang secara kasarnya telah mengesahkan pembelian dan kita hanya ada baki sedikit sahaja lagi,” katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis Meriah Raya dan pelancaran unit rumah contoh Pisonia Ville 2 anjuran UDA Land South Sdn Bhd, di sini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Pembangunan Hartanah) UDA, Noor Azmi Salleh dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land South, Muhammad Ismail Dasuki.

Norliza berkata kediaman berstatus pegangan kekal itu turut mengutamakan keluasan sebagai faktor penting untuk keluarga besar.

Pembinaannya terletak di lokasi strategik di Bandar Uda Utama, iaitu antara perbandaran yang dibangunkan oleh UDA, selain dikelilingi pelbagai kemudahan komuniti seperti bank, sekolah, pasar raya dan hospital.

Beliau berkata pembinaan Pisonia Ville 2 dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2024.

“Pisonia Ville 2 ini merupakan sambungan daripada pakej pertama yang habis dijual dalam tempoh agak singkat. Justeru, ia memberikan motivasi lagi kepada UDA untuk kita mulakan fasa ketiga pula, yang dijangka bermula pada suku pertama tahun depan,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini pembelian hartanah khususnya perumahan merupakan satu pelaburan yang sangat baik, dan orang ramai terutama penduduk Johor diharapkan tidak melepaskan peluang untuk membeli hartanah di bawah UDA.

“Kepada pembeli yang berminat, ini merupakan pelaburan yang sangat baik, seperti Pisonia Ville 2 kita dapat lihat daripada segi reka bentuk dan kemasannya yang cantik.

“Ia juga berpatutan dengan harga, kalau di tempat lain mungkin lebih mahal dan saya rasa harga kita lebih berpatutan. Bagi pembeli yang berminat sama ada keluarga besar atau kecil, saya rasa apa yang kita tawarkan boleh memenuhi keperluan mereka,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular