Berita

94,000 Pelajar Mulakan Sesi Persekolahan Bersemuka Hari Ini

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Sesi persekolahan secara bersemuka di 10 negeri melibatkan kira-kira 94,000 pelajar bermula hari ini, mengikut ketetapan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri masing-masing.

Ia melibatkan pelajar di Pulau Pinang, Perak dan Sabah yang berada dalam Fasa Dua; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang dan Sarawak (Fasa Tiga); Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan (Fasa Empat).

Pembukaan sekolah hari ini membabitkan pelajar Tingkatan Enam Semester Dua, kelas peperiksaan antarabangsa, murid berkeperluan khas (MBK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang hadir tanpa penggiliran mengikut ketetapan Fasa Dua.

Bagi Negeri Sembilan dan Labuan, ia melibatkan murid prasekolah, MBK dan PPKI, pelajar kelas peperiksaan awam di sekolah asrama, sekolah harian dan swasta serta kelas peperiksaan antarabangsa, mengikut ketetapan Fasa Tiga.

Semalam, sesi persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan COVID-19.

Johor dan Kedah hanya akan memulakan sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 10 Okt.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button