Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBerita95 peratus bangunan di Putrajaya ada pasukan ERT

95 peratus bangunan di Putrajaya ada pasukan ERT

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) — Kira-kira 95 peratus daripada 112 bangunan kerajaan dan swasta di Putrajaya telah menubuhkan pasukan tindakan kecemasan (ERT) bagi melaksanakan pengurusan bencana di lokasi masing-masing.

Penolong Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya Che Shari Abdullah berkata penubuhan pasukan ERT itu amat penting kerana ia dapat memastikan keselamatan kakitangan di bangunan sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran.

Menurutnya, mana-mana bangunan tidak kira kerajaan atau swasta, yang mempunyai lebih 40 kakitangan perlu mempunyai satu jawatankuasa yang menguruskan hal keselamatan kebakaran atau bencana lain sekiranya berlaku.

“Pasukan ERT ini bertanggungjawab menguruskan kakitangan di bangunan itu serta menyediakan lokasi atau tempat selamat untuk berkumpul sekiranya berlaku bencana atau kebakaran.

“Memang ada bangunan yang tiada pasukan ERT lagi dan kami mahu mereka tubuhkan kerana ia penting demi keselamatan kakitangan di bangunan terbabit,” katanya kepada Bernama selepas mengetuai pemantauan latihan kebakaran di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) di sini hari ini.

Mengenai latihan kebakaran di K-KOMM, beliau berkata latihan tersebut dilaksanakan bagi mewujudkan kombinasi baik antara JBPM dan pasukan ERT kementerian sekiranya berlaku bencana atau kebakaran, serta untuk membiasakan kakitangan kementerian dengan situasi kecemasan seperti kebakaran.

“Latihan kebakaran diwajibkan sekali dalam setahun dan ia dilaksanakan berdasarkan Akta Bomba 341,” kata Che Shari yang memuji pasukan ERT K-KOMM kerana berjaya mengendalikan urusan pengosongan bangunan ketika sesi latihan kebakaran hari ini.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular