99 Speedmart lancar Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia sempena ulang tahun ke-35

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — 99 Speedmart melancarkan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia sempena ulang tahun ke-35 rangkaian kedai serbaneka itu yang disambut dalam majlis makan malam di Hotel Sunway Resort semalam.

Kenyataan 99 Speedmart hari ini memaklumkan kempen itu menampilkan 50 barangan tempatan terpilih dari 13 hingga 31 Dis 2022 selaras dengan falsafahnya untuk memperkasa dan memajukan perusahaan serta masyarakat tempatan.

Pengarah Eksekutif 99 Speedmart Ng Lee Tieng berkata pihaknya sentiasa menjadi penggalak bagi barangan tempatan berikutan lebih 60 peratus pendapatannya adalah daripada produk Buatan Malaysia.

Beliau berkata perubahan landskap perniagaan global yang tidak pernah dilihat sebelum ini akibat COVID-19 juga menekankan perlunya daya tahan pada rantaian bekalan dan penyetempatan barangan lebih besar yang dijual oleh 99 Speedmart.

“Kami komited sepenuhnya untuk mempromosikan produk Buatan Malaysia ke peringkat seterusnya dengan sasaran mencecah RM5 bilion pada tahun fiskal 2023. Dengan sokongan pembekal tempatan, kami akan mencapainya,” menurut beliau dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan komitmen dan falsafah asas tersebut telah menyaksikan 99 Speedmart meraih anugerah NielsenIQ: No.1 di Malaysia untuk Jualan Runcit FMCG bagi 2021 dan 2022 yang disampaikan oleh Pengarah Retail Vertical Lead, NielsenIQ Retail Intelligence Tisha Tay kepada Pengarah Urusan 99 Speedmart Lee Thiam Wah.

Pada majlis sama, 99 Speedmart turut mengetengahkan inisiatif kedua dalam usaha melestarikan alam sekitar menerusi pemasangan panel solar di semua pusat pengedarannya untuk mencapai status bangunan GreenRE dan sistem penyejuk barangan yang menggunakan 40 hingga 45 peratus kurang tenaga.

Ng berkata usaha itu adalah bagi menyokong sasaran Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Kenyataan itu juga menyebut 99 Speedmart sentiasa memainkan peranan dalam memberi impak positif kepada negara melalui pelbagai inisiatif antaranya menyumbangkan RM1 juta kepada Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman dan RM500,000 kepada Yayasan Institut Jantung Negara.

Turut hadir pada majlis sambutan itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama isteri, Datin Seri Fatimah Taha.

Salahuddin berkata 99 Speedmart telah menjadi penanda aras dalam sektor peruncitan dengan kejayaan mengurangkan kos operasi keseluruhan, pembukaan cawangan dan menawarkan barangan pada harga berpatutan selaras dengan moto ‘Dekat dan Murah.’

“99 Speed​​mart ialah satu-satunya pasar mini yang menggaji 100 peratus buruh tempatan di cawangannya.

“Kejayaan ini harus dipuji dan menjadi penanda aras kepada peruncit lain untuk melayan tenaga kerja tempatan,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada 99 Speedmart.

Majlis makan malam itu bertujuan memberi penghormatan kepada kakitangan berdedikasi, pihak berkepentingan dan rakan kongsi strategik 99 Speedmart atas daya tahan, dedikasi serta usaha luar biasa dalam mengharungi tahun-tahun pandemik yang mencabar.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button