Berita

Pemeriksaan Rawak Pematuhan SOP Di Stesen Kereta Api, LRT, MRT

141views

SUBANG JAYA, 9 Dis — Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menjalankan operasi bersama untuk memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di semua stesen kereta api di Lembah Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PKPB di Kuala Lumpur dan Selangor (kecuali di Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor) dilanjutkan sehingga 20 Dis.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor ACP Zulkifli Adamshah berkata hari ini satu pasukan terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta enam anggota penguat kuasa APAD akan melakukan pemeriksaan rawak di Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) mulai hari ini hingga berakhirnya PKPB.

“Semasa operasi bersama ini, polis Selangor komited untuk membantu APAD bagi memastikan SOP yang ditetapkan kerajaan dipatuhi,” katanya pada sidang media di Stesen LRT Subang Jaya.

Beliau berkata perjalanan rentas negeri dan rentas daerah telah dibenarkan tetapi orang ramai di zon PKPB, terutamanya Kuala Lumpur dan Selangor, masih terikat dengan pematuhan SOP.

Zulkifli berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi SOP.

— BERNAMA

Source Link