Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaAdab akan adakan mesyuarat bincang isu kepentingan masyarakat Melayu

Adab akan adakan mesyuarat bincang isu kepentingan masyarakat Melayu

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) — Lembaga Peradaban Melayu (Adab) akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai tiga perkara yang menyentuh kepentingan masyarakat Melayu di negara ini.

Pengerusi baharu Adab Datuk Ghazali Mohd Yusoff berkata tiga perkara tersebut ialah isu berhubung Tanah Rizab Melayu yang peratusannya dilihat semakin susut kebelakangan ini, perincian mengenai pemerkasaan bahasa Melayu dan ekonomi orang Melayu pascapandemik COVID-19.

“Mesyuarat mengenai ketiga-tiga isu ini akan diadakan dalam waktu terdekat sebelum satu memorandum diserahkan kepada Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas mengenai visi Adab selepas mesyuarat agung tahunan ke-10 dan ke-11 di sini hari ini.

Mesyuarat agung tahunan Adab yang berlangsung hari ini memilih barisan kepimpinan Adab bagi penggal 2022 hingga 2024 dengan Ghazali sebagai pengerusi dan Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling sebagai timbalannya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan itu berkata pertubuhan berkaitan tamadun seperti Adab perlu lebih aktif membangkitkan kelemahan yang wajar diberi perhatian supaya aspek budaya dan tamadun tidak dilupakan masyarakat.

Beliau berkata nilai peradaban dan budaya tinggi perlu diterap dalam masyarakat menerusi kerjasama Adab dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pendidikan supaya elemen tersebut dimasukkan dalam pendidikan formal seperti di negara timur yang lain termasuk Jepun, Korea, Taiwan dan China.

Dalam perkembangan lain, bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar yang turut ditemui pada mesyuarat itu memberikan pandangan positif mengenai pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk mengkaji serta meneliti undang-undang sedia ada termasuk 147 undang-undang yang telah lapuk.

“Proses ini (kaji undang-undang lapuk) sepatutnya dilaksanakan sepanjang masa. Kalau undang-undang itu sudah tidak berguna atau merosakkan, simpan buat apa,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan transformasi undang-undang perlu dilakukan segera kerana keadaan berubah dan undang-undang juga perlu bergerak mengikut keadaan semasa.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular