ADB lulus pinjaman AS$50 juta kepada Kemboja untuk program peralihan tenaga

PHNOM PENH, 15 Dis (Bernama) — Bank Pembangunan Asia (ADB) yang berpangkalan di Manila meluluskan pinjaman AS$50 juta kepada Kemboja untuk menyokong program peralihan tenaganya, menurut kenyataan pada Khamis.

Program Pembangunan Sektor Peralihan Tenaga akan dibiayai menerusi pinjaman AS$40 juta daripada sumber konsesi ADB dan pinjaman AS$10 juta lagi daripada Dana Infrastruktur ASEAN di bawah Kemudahan Kewangan Hijau Pemangkin ASEAN, lapor Xinhua memetik kenyataan itu.

Program itu menyokong agenda peralihan tenaga kerajaan ke arah mengarusperdana tenaga boleh baharu serta kecekapan tenaga ketika beralih daripada bahan api fosil.

Menurut kenyataan itu, pelaburan dalam projek itu akan mempromosi teknologi baharu, termasuk pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri bersambung grid pertama negara, yang akan membolehkan sumber tambahan boleh baharu memasuki grid dan meningkatkan kestabilan grid elektrik untuk pengguna.

Pelaburan itu juga termasuk sistem lampu jalan cekap bandar yang komprehensif di wilayah Kampot dan Kep, yang akan menjimatkan kos dan memberi manfaat kepada keselamatan pelancong dan orang awam.

Menerusi pembaharuan dasar itu, penjanaan elektrik boleh baharu menjelang 2027 dijangka meningkat sekurang-kurangnya 25 peratus daripada garis dasar 4,672 gigawatt jam pada 2021.

BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button