Berita

Adik Dan Ibu Lemas, Kereta Terjatuh Dalam Tasik

135views

KULIM, 22 Mac — “Arwah adik selalu datang ke rumah saya di Padang Serai dan kali terakhir dia datang semalam, malah sempat masak ayam goreng kicap yang menjadi kegemaran kami sekeluarga.

“Namun, saya terkejut apabila menerima panggilan adik dan emak lemas selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka terjunam ke dalam Tasik Lake Resort di Serdang, semalam,” kata Haida Apiza Hashim, 46.

Haida Apiza yang juga kakak sulung, berkata ketika ke rumahnya, mangsa, Nor Aiza Hashim, 28, tergesa-gesa hendak pulang selepas selesai memasak dan memberitahu dia mempunyai urusan.

Katanya, pada waktu itu hanya anaknya, Siti Syuhada Mujahidun, 15, berada di rumah, manakala dia dan suami keluar bekerja.

“Itu hidangan ayam goreng kicap terakhir yang sempat mereka (anak) makan hasil air tangan arwah dan selepas ini pasti mereka akan merindui masakan itu.

“Arwah adalah anak kelapan daripada 11 adik-beradik dan sangat rapat dengan emak, Hasmah Mat Isa, 69, serta bapa, Hashim Ariffin, 74.

“Biasanya bapa akan ikut sekali Nor Aiza dan emak menaiki kereta bersama, tetapi semalam dia tidak ikut,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kulim, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, dua beranak itu ditemui lemas selepas terperangkap dalam kereta Proton Persona yang terjunam ke dalam Tasik Lake Resort Serdang di sini.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur dilaporkan, berkata siasatan awal mendapati kereta itu berada di kawasan parkir tasik berkenaan, sebelum pemandunya dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke depan lalu meluncur masuk ke dalam tasik.

Katanya, kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan itu sebelum lemas.

Mayat Hasmah berjaya dibawa keluar oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani jam 8.40 malam, manakala mayat Nor Aiza jam 8.59 malam tadi.

Sementara itu, abang Nor Aiza, Mohd Azimat Hashim, 43, pula berkata dua minggu lalu dia sempat pulang ke rumah ibu bapanya di Taman Orkid, Serdang sebaik rentas daerah dibenarkan.

“Saya ternampak kasut baru dibeli adik (Nor Aiza) dan sempat menghantar gambar kasut itu melalui aplikasi WhatsApp kepadanya.

“Saya bergurau dengannya kasut itu cantik dan kemudiannya dia membalas mahu hadiahkan kasut itu jika saya mahu.

“Tidak sangka itu adalah WhatsApp terakhir saya dengannya sebelum kejadian berlaku,” katanya.

Jenazah dua beranak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan dijangka di bawa pulang petang ini untuk dikebumikan.

Source Link