Berita

Agih Bantuan Kepada Golongan Terkesan PKP 3.0 Secara Pandu Lalu Kini Jadi Pilihan

79views

PASIR SALAK, 13 Jun – Konsep pandu lalu semakin menjadi pilihan oleh sukarelawan di sini untuk mengagihkan bantuan kepada golongan yang memerlukan termasuk asnaf yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata konsep tersebut memudahkan pergerakan dalam mengagihkan bantuan tanpa perlu berhimpun beramai-ramai sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) ini untuk golongan terjejas seperti asnaf yang telah dikenal pasti di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Manik dan kawasan sekitar.

“Ketua yang dilantik, seperti dari cawangan, Wanita, Pemuda akan datang ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen ini untuk mengambil bantuan makanan tanpa perlu keluar dari kenderaan dan terus pulang ke kawasan masing-masing untuk pengagihan,” katanya kepada media hari ini.

Tajuddin berkata antara bantuan keperluan yang diberikan termasuk beras, gula, tepung, minyak, sardin, bihun, mi segera, kopi, biskut, ikan, ayam dan daging yang diletakkan dalam bekas khas.

Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) UMNO itu, berkata konsep pandu lalu antara lain membantu mengurangkan kesesakan dan risiko penularan pandemik COVID-19 dan ia seharusnya diperluas bagi memudahkan urusan membantu golongan yang memerlukan ketika pandemik melanda.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menjatuhkan reputasi dan memalukannya berikutan insiden kemalangan membabitkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lepas.

“Saya dimalukan di seluruh negara. Ini tidak adil. Saya menafikan segala tuduhan dan akan mengambil tindakan perundangan kepada pihak tertentu,” jelasnya.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas, untuk menyiasat punca kejadian itu dan dua hari selepas kejadian, Tajuddin dipecat sebagai Pengerusi Prasarana berkuat kuasa serta-merta.

– BERNAMA

Source link