Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaAgong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat pengurniaan darjah kebesaran

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat pengurniaan darjah kebesaran

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022 di Istana Negara.

Turut berangkat ke istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong itu adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang kemudian mengiringi pasangan diraja ke Peterana Diraja.

Sebaik tiba di Peterana Diraja, Al-Sultan Abdullah diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dan serentak itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Panji Peribadi Seri Paduka Baginda dikibarkan diikuti 21 das tembakan meriam.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dan selesai pemeriksaan, Seri Paduka sekali lagi menerima Hormat Diraja dan lagu Negaraku berkumandang.

Seri Paduka berdua kemudiannya diiringi perdana menteri dan isteri, berangkat meninggalkan Peterana Diraja ke Dewan Sri Maharaja bagi meneruskan atur cara Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.

Istiadat itu satu daripada enam acara yang dijadual berlangsung bermula 2 Jun lalu hingga 10 Jun deoab sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi itu, seramai 1,021 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022.

BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular