info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Agong Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Legenda Sepak Takraw Negara

56views

KUALA LUMPUR, 8 Jun  — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda sepak takraw negara, Sahak Md Yassim yang meninggal dunia, semalam.

Istana Negara menerusi laman media sosial rasminya menyatakan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada sukan sepak takraw negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah Al-Sultan Abdullah.

Allahyarham yang mesra disapa Pak Sahak, 74, meninggal dunia pada pukul 3.30 petang semalam di kediamannya, Taman Bunga Raya, Setapak di sini.

Berasal dari Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan, bekas apit kanan negara itu pernah mewakili Malaysia dalam Sukan SEAP (Sukan SEA), Piala Emas Khir Johari, Piala Tuanku Abdul Rahman, Piala Tun Razak, Piala Tan Seri Jamil Rais dan Piala Raja Thai dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Allahyarham, yang merupakan bekas anggota tentera ketika zaman kegemilangannya dari tahun 1971 hingga 1979, merupakan legenda sepak takraw negara yang digeruni regu Thailand dan dilantik sebagai perunding Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSTM) tahun lepas.

— BERNAMA

Source link