Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaAhli Parlimen Jelutong cedera ringan dalam kemalangan

Ahli Parlimen Jelutong cedera ringan dalam kemalangan

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan dinaikinya terlibat dalam kemalangan di KM425.3 Lebuhraya Utara Selatan dekat Bukit Beruntung pagi tadi.

Pegawai Khas beliau, S. Griba ketika dihubungi Bernama berkata, Rayer telah menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan telah dibenarkan pulang kira-kira jam 5 petang tadi.

“YB (Yang Berhormat Rayer) cedera di tangan kanan dan leher akibat kemalangan tadi, beliau telah dikejarkan ke hospital dan telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin dalam kenyataan berkata kemalangan berkenaan berlaku pada jam 8.55 pagi tadi melibatkan Toyota Alphard yang dinaiki Rayer bersama empat penumpang dan seorang pemandu telah melanggar bahagian belakang kenderaan jenis Ford Kuga setelah kedua-dua kenderaan tersebut menukar lorong bagi mengelak sebuah objek besar di atas jalan raya.

“Semua mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu cuai memandu hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular