BeritaJenayah

Ahli Perniagaan Elak Bayar Cukai Senjata Api

SEPANG, 14 Okt — Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini masing-masing terhadap satu dan dua pertuduhan mengelak membayar duti dan cukai pengimportan senjata api.

Tertuduh, Zaikry Sany Mohd Isa, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noorhisham Mohd Jaafar dan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan di Mahkamah Sesyen, lelaki itu membuat suatu pengikraran tidak benar di MasKargo Zon Bebas Komersial (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada jam 6.11 petang, 20 Julai 2016.

Pengikraran itu membabitkan konsaini iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu borang Kastam 1 yang mana pengikaran tidak benar menjejaskan tanggungannya terhadap nilai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM20,229.73 menurut Akta GST 2014.

Ia bagi pengimportan 50 pistol Baretta model APX 9mm dan 70 ‘shotgun’ (senapang) Baretta model 1310 Tactical Cal 12 dan dengan itu, Zaikry membuat kesalahan mengikut Seksyen 88(c) Akta GST 2014 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan dikenakan suatu penalti yang bersamaan dengan amaun cukai yang terkurang dikenakan atau berkemungkinan akan terkurang dikenakan sedemikian jika penyata atau maklumat itu diterima dengan betul.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret pula, tertuduh membuat pengikraran tidak benar membabitkan konsaini iaitu TLDM dalam borang sama di lokasi serta waktu sama bagi mendapatkan pengecualian duti menurut Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2013.

Dengan itu, dia melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 133(1) akta sama.

Denda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kertas pertuduhan kedua di mahkamah berkenaan pula, tertuduh di lokasi dan waktu sama dengan disedari terbabit secara frod mengelak duti import iaitu RM77,806.65 yang dikenakan mengikut Perintah Duti Kastam 2012 (Seksyen XIX Bab 93) yang membabitkan jumlah dan jenis senjata api sama.

Dengan menggunakan pengikraran Borang Kastam 1, tertuduh melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(g) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(i)(aa) Akta Kastam 1967.

Denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti Kastam iaitu RM778,066.50 dan tidak lebih 20 kali ganda dari amaun duti Kastam iaitu RM1,556,133 atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Kastam Putrajaya, Mohd Azawan Shah Amdan menawarkan ikat jamin RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Bagaimanapun, Zaikry yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan rendah dengan alasan mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Mahkamah Sesyen dan Majistret masing-masing kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta RM10,000.

Sebutan semula kes pada 26 November depan.

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button