info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Ahmad Zahid Harap Kerajaan Dengar Keluh Kesah Rakyat, Beri Bantuan Berdepan ‘Total Lockdown’

95views

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi harap segala keluh kesah rakyat diteliti agar kerajaan dapat memberi bantuan yang lebih menyeluruh kepada rakyat untuk berdepan ‘total lockdown’ pada 31 Mei lalu.

Katanya, Kerajaan PN mengumumkan bebeberapa bentuk bantuan kepada rakyat untuk berdepan ‘total lockdown’ yang kerajaan definisikan sebagai ‘Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Yang Lebih Ketat’.

“Tidak pasti sama ada itu definisi yang tepat. Namun itulah pendirian kerajaan PN tentang ‘total lockdown’ yang perlu dihadam rakyat.

“Rasanya belum terlalu lewat untuk mengulas sedikit mengenainya kerana bantuannya pun masih lambat lagi untuk diterima.

“Sebenarnya ada beberapa persoalan disebalik bantuan tersebut termasuk apabila sebahagiannya dilihat bersifat ‘accrual’ atau terakru terutama berhubung aspek bantuan tunai,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), bantuan antara RM100 sehingga RM500 kepada yang layak hanya mula diberi pada hujung bulan Jun, manakala bantuan RM500 kepada pemandu pelancong, teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa, e-hailing pada Julai sementara GKP sebanyak RM1,000 pula diberi kepada PKS pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi disalurkan pada bulan Julai.

“Kesimpulannya bantuan-bantuan ini hanya diberi selepas kira-kira dua minggu pelaksanaan Fasa Pertama ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun berakhir.

“Kita pohon agar pemberian bantuan ini dipercepatkan iaitu dalam tempoh pelaksanaan total lockdown’ walaupun tidak pasti sama ada ia mencukupi. Pada waktu pendapatan telah hilang atau berkurangan, maka bantuan tunai sedikit sebanyak membantu kelangsungan hidup.

“Pemberian moratorium automatik tiga bulan atau pengurangan 50 peratus bayaran balik secara ansuran pula hanya untuk beberapa golongan. Antaranya golongan B40 dan mereka yang hilang pekerjaan. Bagaimana bagi golongan M40 yang pendapatan isi rumah terjejas?”

Soal beliau, bagaimana mereka mampu membayar pembiayaan peribadi, kereta, rumah dan sebagainya seperti biasa?

“Diskaun bil elektrik dan bil bekalan air bersih perlu juga diberikan kepada akaun kediaman bagi mengurangkan beban rakyat.

“Sebenarnya ada banyak lagi persoalan dibangkitkan oleh ramai pihak berhubung bantuan yang diumumkan.
“Bagi saya bantuan diumumkan masih belum dapat memastikan setiap golongan yang memerlukan dalam tempoh ‘total lockdown’ disentuh.”

Katanya, bagaimana rakyat dapat duduk tenang di rumah jika dapur tidak berasap, memikirkan rumah atau kereta mungkin disita pihak bank?

“Atas sebab itu saya percaya belum masa untuk kerajaan PN kata kini semuanya terserah kepada rakyat sama ada kes jangkitan COVID-19 dapat ditangani,” tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online