Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaAidilfitri : Maxis komited bantu komuniti dengan keperluan berbeza

Aidilfitri : Maxis komited bantu komuniti dengan keperluan berbeza

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Bersempena dengan sambutan Hari Raya, Maxis telah melancarkan beberapa inisiatif untuk membawa keceriaan kepada keluarga B40, pelajar dan Orang Kurang Upaya (OKU), termasuk menjalinkan kerjasama dengan Persatuan OKU Sentral bagi membantu golongan OKU menceburi program keusahawanan maya.

Program eKelas Usahawan merangkumi siri bengkel pemasaran digital dengan pendekatan praktikal, bagi melengkapkan peserta dengan peralatan digital yang betul dan kemahiran yang dapat mengembangkan perniagaan dan meningkatkan peluang pendapatan mereka.

Maxis dalam satu kenyataan memaklumkan antara modul yang telah dibangunkan termasuklah panduan dan kemahiran asas pemasaran dan fotografi digital, penulisan iklan, serta perancangan kempen pemasaran dan pengiklanan menerusi platform dalam talian dan media sosial.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Mariam Bevi Batcha berkata musim perayaan adalah waktu istimewa untuk Maxis membantu pelbagai golongan rakyat Malaysia di seluruh negara, di bawah kempen Raya tahun ini.

“Program kemasyarakatan kami memberi kesan mendalam kepada kehidupan orang ramai yang kami bantu dan kami berharap sumbangan tersebut akan membawa impak positif kepada komuniti tersebut, serta memperkasa mereka melalui pendigitalan, mengikut keperluan masing-masing yang berbeza,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu Presiden OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi juga menyatakan kegembiraan beliau kerana dapat bekerjasama dengan Maxis dalam memberikan impak positif kepada komuniti OKU dan memastikan mereka tidak ketinggalan.

“Ia amat menginspirasikan untuk melihat bagaimana kita boleh memperkasakan mereka bagi meningkatkan peluang pendapatan dan mencapai kemungkinan baharu dengan alatan digital yang betul,” katanya yang turut hadir pada pelancaran kempen Maxis Raya itu.

Selain program keusahawanan untuk OKU, Maxis di bawah kempen Raya juga telah mengedarkan sebanyak 150 bakul makanan kepada komuniti B40 di Pasir Mas dan Rantau Panjang, Kelantan yang terjejas akibat banjir.

Selain itu 50 pelajar dari komuniti B40 di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Garuda di Pahang telah menerima bantuan kelengkapan sekolah serta dengan panduan untuk mereka menyertai program eKelas Maxis.

‘eKelas’ adalah program komuniti utama Maxis, yang menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5, melalui tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital selaras dengan Sukatan Pelajaran Sekolah Malaysia.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular