AirAsia taja Karnival Piala Dunia Bernama 2022

KUALA LUMPUR, 18 Dis — AirAsia berbesar hati menyantuni petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan menaja empat tiket penerbangan domestik sempena Karnival Piala Dunia Bernama 2022 yang berlangsung malam ini.

Penajaan karnival itu antara lain bagi memastikan kerjasama erat antara AirAsia dan Bernama berterusan pada masa hadapan, sekali gus menyaksikan syarikat penerbangan tambang murah itu menghargai fungsi dan peranan Bernama sebagai agensi media.

Karnival Piala Dunia Bernama 2022 itu dianjurkan dengan kerjasama Kelab Kakitangan Bernama, Bahagian Strategi Korporat dan Bernama TV di Wisma Bernama di sini.

Ia julung kali diadakan bersempena dengan perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 antara Argentina dan Perancis malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin menzahirkan ucapan terima kasih kepada AirAsia di atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan karnival itu menerusi tajaan tiket penerbangan domestik melibatkan laluan Miri, Tawau, Kuala Terengganu dan Langkawi.

Sementara itu, AirAsia mengumumkan laluan terbaharu penerbangan mereka dari Sibu, Sarawak ke Singapura, menjadikan AirAsia penyedia jaringan penerbangan paling meluas antara Singapura dan Sarawak iaitu melibatkan laluan Kuching, Miri dan Sibu.

AirAsia kekal unggul sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia selama 13 tahun berturut-turut menurut Skytrax. AirAsia juga menyediakan jaringan penerbangan paling meluas dalam Malaysia dan ASEAN

Skytrax adalah sistem penarafan penerbangan global bagi produk dan perkhidmatan, keselamatan, selain turut menjadi penanda aras untuk piawaian penerbangan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button