Berita

Aktiviti Persundalan Sugarbook.com Perlu Disekat

153views

KUALA LUMPUR, 15 Feb — Laman web dan aplikasi, Sugarbook.com perlu disekat kerana dipercayai menjalankan aktiviti persundalan secara dalam talian, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Susulan itu, Ahmad Amzad menggesa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 211, Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu larangan terhadap pemberian kandungan jelik dan akta membabitkan kesalahan seksual mengikut Seksyen 372, 372A, 372B Kanun Keseksaan.

Katanya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu terus memantau dan menyekat sebarang domain Sugarbook.com. yang bakal digunakan untuk membolosi sekatan di semua laluan pintu masuk internet Malaysia.

“Disebabkan pihak kerajaan di bawah SKMM menjalankan langkah proaktif selama ini untuk menyekat laman pornografi, diharap tindakan sama dapat diambil dengan segera iaitu menyekat domain Sugarbook.com.

“Namun pihak Sugarbook.com mungkin akan mendaftar atas nama domain lain untuk terus dapat dicapai oleh pengguna Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, berdasarkan rujukan artikel, pengasas Sugarbook.com adalah Darren Chan yang bermastautin di Malaysia dan menjalankan perniagaan secara dalam talian yang menjadi platform untuk pelacuran.

“Perniagaan secara dalam talian ini mendapat pelaburan daripada pelabur Hong Kong, seperti disebut dalam artikel temuramah pengasas Sugarbook itu.

“Aplikasi ini digunakan pengguna dari Malaysia, Hong Kong, Taiwan dan negara lain, namun berdasarkan berita, Malaysia menjadi ‘sarang’ kepada 42,500 ‘sugar daddy’ iaitu ketiga paling tinggi di Asia,” katanya.

Beliau berkata, server aplikasi ini difahamkan dihoskan atas nama domain Sugarbook.com yang berdaftar di Amerika Syarikat (AS) iaitu di bawah pendaftar domain GoDaddy.com.

“Ia dihoskan di Cloudflare.com di bawah dua alamat protokol internet (IP) iaity 104.21.71.211 (AS) dan 172.67.171.188 (Jepun),” katanya.

Source Link