info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Al Jazeera Siar Dokumentari Kontroversi, Bangladesh Arah Dokumentari Disingkir

44views

DHAKA, 18 Feb — Mahkamah mengarahkan sebuah dokumentari diterbitkan saluran berita Al Jazeera menyiarkan dakwaan mengejutkan mengenai ketua tentera Bangladesh dikeluarkan dari perkhidmatan internet di negara Asia Selatan itu.

Penyiar yang berpusat di Doha itu melancarkan program berjam-jam bertajuk ‘All the Prime Minister’s Men’ pada awal bulan ini yang memaparkan dakwaan bahawa pasukan keselamatan negara itu dan perdana menteri, Sheikh Hasina ada kaitan dengan kumpulan penjenayah.

“Mahkamah Tinggi mengarahkan pengawal selia telekomunikasi Bangladesh supaya ‘menyingkir atau mengeluarkan dokumentari Al Jazeera dari ruang Facebook, Twitter, Youtube, Instagram dan lain-lain plaform digital yang dikongsi,” kata peguam pengawal selia, Khandaker Reza-e-Raquib, kepada AFP.

Dalam satu kenyataan selepas keputusan mahkamah, pengawal selia berkata, pihaknya akan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk membuang kandungan itu.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana Suruhanjaya Pengawal Selia Telekomunikasi Bangladesh akan membuang program itu.

Al Jazeera versi Inggeris sudah pun menyiarkan program itu di saluran Youtube rasminya di mana ia ditonton lebih 6.8 juta kali.

Sementara itu, jurucakap pengawal selia terbabit menyatakan, pihaknya sudah meminta Facebook dan Twitter untuk membuang dokumentari itu.

Namun, tiada komen segera dari mana-mana syarikat media sosial mengenai permintaan itu.

Al Jazeera versi Inggeris disiarkan oleh rangkaian kabel televisyen di Bangladesh.

Tidak ada perintah mahkamah untuk menurunkan saluran terbabit.

Menurut pendakwa raya, Hemayet Unddin kepada AFP, kumpulan prokerajaan, Yayasan Bangabandu juga memfailkan aduan di mahkamah di bawah undang-undang hasutan ke atas pemangku Ketua Pengarah Al Jazeera Media Network, Mostefa Souag dan beberapa individu lain yang dipaparkan dalam dokumentari itu.

Dokumentari itu turut mendapatkan kecaman Kementerian Luar Bangladesh yang menyifatkannya sebagai ‘kempen memburuk-burukkan’ oleh parti Islam terbesar di negara itu, Jamaat-e-Islami yang dilarang bertanding dalam pilihan raya.

Di pihak tentera pula, mereka menyifatkan dokumentari itu mengandungi ‘banyak cerita putar-belit dan berita palsu’.

Unit Penyiasat Al Jazeera dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya menyokong 100 peratus etika kewartawanannya dan individu yang berani menyatakan tentangan terhadap rasuah dengan mempertaruhkan risiko peribadi dan keluarga mereka.

Minggu lalu, penyokong Perdana Menteri Bangladesh bertindak membakar patung David Bergman, seorang wartawan berpusat di London yang diwawancara untuk program terbabit.

— AFP

Source Link