info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

AliExchange Tumpas

69views

KUALA LUMPUR, 18 Dis — Polis menumpaskan satu sindiket pelaburan mata wang kripto dikenali ‘AliExchange’ yang dipercayai mengakibatkan pelabur kerugian RM4.7 juta.

Kejayaan itu berikutan penahanan sembilan individu, termasuk dalang utama sindiket berkenaan dalam satu operasi pada Isnin lalu.

Gerakan pada jam 8.50 pagi hingga 12.50 tengah hari itu berjaya menahan semua suspek, termasuk seorang warga Singapura di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata suspek membabitkan enam lelaki dan tiga wanita berusia 32 hingga 59 tahun.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan platform dagangan mata wang kripto dikenali sebagai ‘AliCoin’.

“Setiap pelabur diberikan akses melalui aplikasi ‘AliExchange’ yang dimuat turun menggunakan ‘Google Play Store’. Mangsa juga dapat melihat kadar pulangan serta imbuhan dijanjikan melalui aplikasi itu.

“Bagi lebih meyakinkan mangsa, sindiket ini mengupah individu dari Eropah sebagai jurucakap bagi mengadakan seminar di hotel di beberapa negeri.

“Keutungan dijanjikan adalah antara lima hingga 15 peratus mengikut jumlah pelaburan. Mangsa dikehendaki membeli ‘AliCoin’ pada harga RM4.70 bagi setiap satu ‘AliCoin’.

“Jumlah minimum ditawarkan sebanyak 10,000 ‘AliCoin’ bersamaan nilai RM47,000. Setakat ini, kita terima 27 laporan berkaitan sindiket itu yang aktif antara Mac hingga Oktober tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat JSJK Bukit Aman, di sini hari ini.

Zainuddin berkata, turut dirampas adalah pelbagai barang termasuk 11 telefon bimbit, 20 kad ATM, dua kad kredit, empat gajet tablet, lima komputer riba dan lima kereta mewah.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM2 juta. Kes disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Katanya, polis masih memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Seorang dikenali sebagai Haji Rashid, umur dan alamat terakhirnya belum dikenal pasti. Seterusnya, kita cari Mohamad Mohamed Nordin, 39, beralamat No 21, Lorong Desa Sutera, Taman Desa Sutera, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Seorang lagi, Mohd Amin Hassan, 48, dengan alamat di Kampung Lubok Kepong, Batu Enam, Segamat, Johor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin berkata, pihaknya akan memastikan setiap warga asing yang terbabit dalam jenayah komersial seperti ‘Macau Scam’ akan melalui proses pendakwaan di negara ini.

“Kalau tak cukup maklumat atau bukti untuk dakwa mereka di Malaysia, kita boleh isytiharkan mereka sebagai persona non grata,” katanya.

Persona non grata adalah mereka yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa berada di sesebuah negara.

Source Link