BeritaCOVID19

Aliran Trafik Keluar Dari Ibu Negara Meningkat

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Aliran trafik keluar dari ibu negara ke arah utara, selatan dan timur Semenanjung terus meningkat, namun lalu lintas lancar dan terkawal.

Ia berikutan orang ramai yang sudah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung bermula hari ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Bhd (PLUS) berkata, peningkatan kenderaan di lebuh raya utama bermula jam 12 tengah malam tadi, namun setakat ini tiada kesesakan luar biasa.

“Kita hanya ada terima maklumat aliran trafik perlahan di Jambatan Pulau Pinang pagi ini kerana kerja penyelenggaraan jalan.

“Kenderaan dijangka bertambah di lebuh raya pada hujung minggu ini, namun perkara itu hanya akan dapat dipastikan bila tiba masanya nanti,” katanya kepada BH, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM), ketika dihubungi berkata, trafik perlahan di Lebuh raya Utara Selatan dari Pagoh menghala Yong Peng, Johor serta Lebuh raya Pantai Timur dari Kuantan, Pahang menghala ibu negara, pagi ini kerana kerja penyelenggaraan jalan.

“Kerja berkenaan masih berjalan, namun ia tidak mengakibatkan kesesakan teruk.

“Secara keseluruhan, aliran trafik keluar dari Kuala Lumpur ke arah utara, selatan dan timur masih lancar serta terkawal,” katanya.

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button