Berita

Allahyarham Mohamad Azrin Dinaikkan Pangkat Koperal

SUNGAI PETANI, 2 Sept — Tentera Darat Malaysia (TDM) menganugerahkan kenaikan pangkat Koperal kepada Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa bagi menghargai khidmat baktinya sepanjang bertugas sebagai anggota tentera selama tujuh tahun.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata penganugerahan pangkat itu secara ‘posthumous’.

“Sesungguhnya kemalangan yang menimpa Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa ini merupakan satu kehilangan buat negara.

“Pemergiannya sudah pasti akan amat dirasai bukan sahaja oleh keluarganya, bahkan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan istiadat pengebumian Mohamad Azrin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu kira-kira 2 petang tadi.

Zamrose berkata pihaknya turut menzahirkan ucapan takziah dan dukacita kepada isteri Allahyarham, Nor Aqila Syafiqa Safuan serta seluruh ahli keluarganya yang lain atas kehilangan insan tersayang mereka.

Beliau berkata bantuan yang akan diberikan kepada waris Allahyarham adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah lain) 1982.

“Justeru, pemberian faedah kelayakan kematian adalah dianugerahkan kepada balu dan anak serta ibu atau bapa yang mengambil kira jumlah perkhidmatan diakui Allahyarham dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia selama tujuh tahun, empat bulan 20 hari,” katanya.

Zamrose berkata waris Allahyarham juga diberikan bantuan segera berjumlah RM4,500 termasuk bantuan pengurusan jenazah dan juga derma tanggungan.

“… Tentera Darat Malaysia amat mengambil berat aspek kebajikan setiap warganya yang terkesan dengan insiden kemalangan dan kehilangan nyawa, sama ada ketika melaksanakan tugasan operasi mahupun latihan,” katanya.

Allahyarham Mohamad Azrin ialah anggota tinjau daripada Pasukan Kompeni PANDURA (PARA) dan dipercayai lemas serta hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada 4.40 petang, Ahad lepas.

Semasa kejadian, Allahyarham sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor, Pahang.

Mayat Allahyarham ditemukan penduduk di kawasan Kampung Serengkam, Maran, Pahang iaitu kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian pada 8.15 pagi semalam.

Untuk rekod, Eksesais PARA Predator merupakan antara eksesais yang dilaksanakan TDM melalui 10 Briged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka selama 14 hari membabitkan 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button