info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Ambil Upah Buang Sampah RM 1

60views

KOTA KINABALU, 28 Jan — Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) menawarkan perkhidmatan buang samah RM1, dari rumah ke rumah di sekitar Taman Putera Jaya, Telipok, dekat sini.

Gideon J Joeplik, 35, yang lembam mula menawarkan perkhidmatan itu sejak dua minggu lalu, selepas dicadangkan suami kakaknya.

Penduduk taman perumahan yang memerlukan perkhidmatan Gideon membuang sampah di rumah mereka hanya perlu menghubungi abang iparnya sebelum lelaki OKU itu datang mengutip sampah dan membuangnya di tempat pembuangan sampah berhampiran.

Gideon ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka usahanya menawarkan perkhidmatan membuang sampah dengan kadar RM1 mendapat sambutan penduduk setempat.

“Abang ipar memberi cadangan ini memandangkan saya tiada tiada pekerjaan tetap sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu.

“Apabila semua keluarga bersetuju, abang ipar cuba buat hebahan di laman sosial Facebook beliau dan sejak itu penduduk mula memanggil saya untuk dapatkan perkhidmatan membuang sampah,” katanya anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Abang ipar Gideon, Terrance T Suilih, 40, berkata idea membantu Gideon itu timbul selepas dia melihat adik isterinya sering membantu membuang sampah di rumah mereka.

“Kawasan perumahan ini mempunyai banyak blok apartment dan pastinya penduduk yang tinggal ditingkat atas jarang turun ke bawah semata-mata untuk membuang sampah.

“Awalnya saya hanya hebahkan di laman sosial peribadi tetapi apabila perkara ini semakin tersebar, ada penduduk memasukkan nombor telefon saya di kumpulan WhatsApp taman perumahan ini,” katanya.

Terrance berkata, walaupun kadar perkhidmatan yang dikenakan hanya RM1 namun ramai dalam kalangan penduduk selalunya memberi upah yang lebih kepada Gideon.

Beliau berkata, walaupun perkhidmatan itu bukan setiap hari diminta oleh penduduk tetapi permintaan sentiasa ada khususnya pada waktu hujung minggu.

“Saya juga cadang kepada dia melakukan perkhidmatan ini menggunakan basikal selain mempunyai baju khas melambangkan usaha dilaksanakannya selain menekankan penggunaan peralatan kebersihan termasuklah sarung tangan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Putera Jaya, Anicius Justin, 47, berkata, dia kerap menghubungi Terrance untuk meminta perkhidmatan Gideon membuang sampah.

“Usaha ini bukan saja membantu penduduk tetapi juga membantu golongan OKU mencari rezeki ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Source Link