info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
KomputerTeknologi

AMD perkenal pemproses Ryzen siri 5000

40views

Peneraju pengeluar pemproses, Advanced Micro Devices (AMD) memperkenalkan siri baharu pemproses mereka iaitu Ryzen 5000 dengan kod nama ‘Vermeer’ yang menawarkan kuasa prestasi lebih baik.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Dr Lisa Su yang awal pagi tadi dengan pengenalan empat model pemproses yang akan memasuki pasaran sekurang-kurangnya bulan depan.

Dalam majlis pengenalan itu, AMD memperlihatkan siri baharu AMD Ryzen 9 5900X, Ryzen 7 5800X dan Ryzen 5 5600X.

Pemproses baharu berkenaan masih menggunakan rekaan 7nm sama seperti model terdahulu namun menggunakan rekaan topologi baru sekali gus memastikan kadar kecekapan penggunaan tenaga dan penghantaran maklumat lebih baik.

AMD juga memberi jaminan bahawa siri baharu itu mempunyai penawaran kuasa prestasi sebanyak 19 peratus lebih baik daripada siri Ryzen 3000.

Syarikat berkenaan juga memperlihatkan penanda aras permainan bagi kedua siri berkenaan dan untuk prestasi Shadow of Tomb Raider, Ryzen 9 5900X mencatatkan kadar segar semula (FPS) 181 berbanding Ryzen 9 3900X yang hanya merekodkan 141 FPS saja.

Cip pemprosesan itu juga mencatatkan markah tinggi untuk perisian penanda aras CPU CineBench R20 menggunakan satu bebenang pengolahan.

AMD juga mengesahkan bahawa Ryzen 5000 ini akan menyokong papan induk dengan cip AMD X570 dan B550.