Berita

Anak Pemain Bola Sepak Kebangsaan Maut Dalam Kemalangan

NIBONG TEBAL, 6 Dis -- Pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Syafid Ahmad, 25, yang terlibat dalam kemalangan di Km163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap, awal pagi ini. Bayi lelaki Muhammad Syafid, yang baru berusia 22 hari antara tiga yang maut dalam kemalangan terbabit, yang turut menyaksikan penyerang JDT itu berserta dua lagi ahli keluarganya cedera. Dua lagi yang maut dalam nahas kira-kira 5.30 pagi itu ialah ibu mentuanya Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an. Muhammad Syafiq serta seorang lagi anak perempuannya, dikenal pasti sebagai Aaira Nur Saffiya, 2, cedera ringan, namun isterinya Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
204views

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Komuniti bola sepak negara hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada penyerang kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad dan keluarga, yang terlibat dalam kemalangan tragis di Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Kemalangan itu mengorbankan anak lelaki, ibu mentua dan pembantu rumahnya.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyampaikan salam takziah kepada pemain bola sepak kebangsaan Syafiq Ahmad, yang telah kehilangan anak lelaki dan ibu mentuanya selepas terbabit dalam satu kemalangan awal pagi tadi.

“Semoga Allah mengampuni dosa dan mencucuri rahmat ke atas roh mereka, serta meringankan musibah Syafiq (Muhammad Syafiq) seisi keluarga. Al-Fatihah,” menurut kenyataan dalam laman Facebook rasmi FAM.

Dalam kenyataan berasingan, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) turut menzahirkan ucapan takziah, sambil menyeru orang ramai supaya menjaga sensitiviti pemain berusia 25 tahun itu serta ahli keluarganya.

“Kami di PFAM amat bersedih dengan dugaan yang dilalui beliau dan mendoakan agar beliau tabah dengan ketentuan Allah ini. PFAM juga menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan gambar serta video berkaitan, bagi menjaga sensitiviti keluarga Syafiq,” kata PFAM.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menzahirkan ucapan takziah.

“Terkejut mendapat perkhabaran kemalangan yang dihadapi Syafiq Ahmad dan keluarga. Salam Takziah. Semoga Syafiq Ahmad dan isteri terus kuat pada saat yang dukacita ini,” tulis beliau dalam ciapan Twitternya.

Sementara itu, pasukan Selangor FC dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) masing-masing mendoakan segala urusan Syafiq Ahmad dipermudahkan, serta tabah dalam ujian yang menimpa.

“Dari Mu kami datang, kepada Mu kami kembali. Selangor FC mengucapkan salam takziah kepada pemain kebangsaan dan JDT Syafiq Ahmad, atas kemalangan yang menimpa beliau dan keluarga,” demikian ciapan Selangor FC dalam Twitter rasmi mereka.

Dalam pada itu, bekas pengendali skuad kebangsaan Datuk K.Rajagobal turut menzahirkan ucapan takziah kepada Muhammad Syafiq menerusi ciapan di Twitter.

“Kuatkan semangat Syafiq Ahmad. Takziah diucapkan. Saya doakan semoga anda diberikan kekuatan untuk menempuhi ujian ini. Jaga diri,” katanya.

Kemalangan menimpa Muhammad Syafiq dan keluarganya turut dirasai peminat bola sepak tanah air yang tampil memberikan kata-kata semangat serta mendoakan kesejahteraan beliau di media sosial.

Dalam kejadian pada 5.36 pagi itu, bayi lelaki Syafiq berusia 22 hari, ibu mentuanya Zainab Wahab, 45, dan pembantu rumahnya iaitu wanita warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an, maut dalam kemalangan itu manakala Muhammad Syafiq bersama anak perempuannya Aaira Nur Saffiyya, 2, cedera ringan.

Isterinya Nur Amalina Nur Ain, 25, pula dilaporkan cedera parah.

— BERNAMA

Source link