info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Anggota PDRM dilatih mengendalikan bot bagi hadapi musim tengkujuh

80views

GUA MUSANG, 1 Nov (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil inisiatif meningkatkan kecekapan anggotanya dengan memberi latihan pengendalian bot bagi menghadapi musim tengkujuh kelak.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin berkata seramai 24 anggota polis terlibat dalam latihan berkenaan yang dijalankan di Sungai Galas, Bertam, dekat sini, hari ini.

“Pemilihan tempat latihan pengendalian bot di Sungai Galas berikutan keadaan arus sungai yang deras dan mencabar bagi semua anggota dapat menguji kekuatan minda serta mengendali bot dengan terbaik.

“Setiap tahun, kita pilih kawasan ini untuk latihan mengendali bot dan mereka diajar cara untuk menghadapi cabaran itu daripada jurulatih yang berpengalaman,” katanya kepada pemberita di lokasi latihan berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata latihan tersebut juga melibatkan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) supaya masing-masing mempunyai kemahiran bagi menghadapi musim banjir yang mencabar setiap akhir tahun.

Mengulas lanjut, Mohd Taufik berkata cara pengendalian bot menghadapi banjir pada musim tengkujuh sangat penting bagi menjaga keselamatan mangsa banjir yang melalui arus sungai deras terutamanya membabitkan Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir.

Beliau berkata kejadian banjir kerap berlaku berikutan lokasi berkenaan terletak berhampiran tebing sungai yang sering melimpah terutama ketika hujan lebat berterusan.

“Dalam keadaan demikian, anggota yang diberi tugas mengendalikan bot itu perlu membuat persediaan lebih awal dan cepat bertindak memindahkan penduduk yang terjejas banjir,” katanya.

Menurutnya, agensi yang berkaitan juga sudah membuat persiapan awal termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menghantar bekalan makanan di pusat pemindahan sementara.

“Begitu juga penduduk yang tinggal di kawasan yang mudah dilanda banjir mesti membuat persiapan awal dan jangan tunggu arahan pindah baru hendak bertindak sehingga boleh mendatangkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

— BERNAMA

Source link