Anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan KL, Putrajaya mula guna kamera badan

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengaplikasi penggunaan kamera badan dalam Operasi Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan Ops Rakam Asap Tembakau sejak 12 Dis lepas.

Pengarah jabatan itu Dr Nor’Aishah Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini berkata rakaman video dan gambar yang direkodkan akan digunakan sebagai bahan bukti kesalahan dan sokongan keterangan selain menjaga keselamatan dan memelihara integriti anggota penguat kuasa.

Beliau berkata sebanyak 147 notis kesalahan larangan merokok telah dikeluarkan hasil 10 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar ibu negara dan Putrajaya sejak 12 Dis hingga hari ini.

Katanya daripada jumlah itu, 140 notis dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran Peraturan 11(1) PPKHT 2004 iaitu merokok di tempat larangan.

“Sebanyak tujuh notis dikeluarkan bagi pelanggaran Peraturan 13 PPKHT 2004 iaitu bagi kesalahan larangan merokok, mengunyah, membeli atau memiliki apa-apa hasil tembakau oleh Orang Belum Dewasa (OBD),” katanya.

Menurutnya penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di bawah PPKHT 2004 di pusat membeli belah, hentian awam dan tempat makan di Kuala Lumpur serta Putrajaya akan terus dijalankan.

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button