info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Anwar Dititah Akur, Hormati Perlembagaan Persekutuan

83views

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dititah supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam proses mengambil alih kepemimpinan negara.

Titah itu dibuat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah, ketika menerima menghadap Presiden PKR terbabit di Istana Negara, pagi tadi.

Istana Negara dalam kenyataannya, susulan pertemuan itu, menyatakan yang Anwar sekadar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau tanpa mengemukakan sebarang senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataannya, berkata Presiden PKR itu diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira 25 minit.

“Adalah dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Negara pada jam 11 pagi tadi.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Anwar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut, ” katanya menerusi satu kenyataan Istana Negara, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, susulan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihati Anwar supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar sepatutnya dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 22 September lalu, tetapi ditangguhkan ekoran kegeringan Baginda yang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara bermula pada 21 September hingga 3 Oktober, 2020.

Source Link