info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

APM Perlis Terima 15 Bot Gentian Kaca

140views

PADANG BESAR, 20 Okt — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis menerima 15 buah bot gentian kaca dalam persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Azman Mohd Yusof berharap dengan adanya aset baharu berkenaan dapat meningkatkan lagi kecekapan APM dalam melaksanakan operasi menyelamat.

“Ketika ini APM mempunyai 12 buah bot pelbagai jenis menjadikan jumlah keseluruhan aset yang diterima agensi ini ialah 27 buah bot,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis ringkas penyerahan bot tersebut di Empangan Timah Tasoh di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah APM Perlis Lt. Kol. (PA) Ishak Mohd Radzi.

Azman berkata sehingga kini, terdapat 40 buah bot milik pelbagai agensi pengurusan bencana di negeri Perlis yang bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang bencana.

Katanya, bot-bot berkenaan adalah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.

Source link