info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Arab Saudi Wajibkan Pekerja Kesihatan Divaksin

90views

JEDDAH, 3 Mac — Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah menegaskan bahawa negara tersebut perlu membuat persedian awal untuk menyambut musim haji 2021.

Sehubungan itu, Arab Saudi telah mewajibkan seluruh pekerja kesihatan yang merangkumi tenaga kerja untuk operasi fasiliti kesihatan di Makkah, Madinah dan pintu masuk untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Dalam satu pekeliling rasmi, bagi memastikan seluruh petugas kesihatan yang terlibat dengan musim haji 2021 mendapatkan vaksin COVID-19 mereka, satu jawatankuasa yang memantau penerimaan wajib vaksin COVID-19 ini akan ditubuhkan.

Arab Saudi telah mengecualikan rakyatnya yang telah divaksin dan melepasi dua hingga tiga minggu selepas menerima vaksin COVID-19 daripada dikuarantin apabila bersentuhan dengan orang yang dijangkiti seperti yang diumumkan oleh jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly dalam satu sidang media.

Keluk wabak jangkitan COVID-19 negara itu sedang melalui fasa ‘turun naik’ dengan lima kematian akibat COVID-19 direkodkan pada Selasa menjadikan jumlah kematian setakat ini sebanyak 6,505 kes.

378,002 orang telah dijangkiti penyakit itu dengan kes aktif direkodkan sebanyak 2,571 kes dan 508 kes daripadanya sedang berada dalam keadaan kritikal.

Kementerian merekodkan 302 kes baharu menjadikan seramai 378,002 orang kini dijangkiti penyakit berkenaan.

Sebanyak 136 kes direkodkan di Riyadh, 78 kes di Wilayah Timur, 37 kes di Makkah dan lima di Madinah.

Kes sembuh pula direkodkan seramai 286 kes sembuh menjadikan jumlah kes COVID-19 yang sembuh di negara tersebut menjadi 368,926 kes setakat ini.

Warga Arab Saudi dan ekspatriat di negara itu terus menerima dos vaksin COVID-19 dengan 885,411 orang sudah menerima suntikan.

Bagi mengiktiraf pengorbanan petugas barisan hadapan mereka, negara itu telah mengisytiharkan 2 Mac setiap tahun sebagai ‘Hari Martir Kesihatan’ selain menyediakan sokongan psikologi dan sosial untuk keluarga mereka.

— AGENSI